SHAH ALAM, 5 MEI: Media Selangor memperkenalkan saluran Aduan Penerbitan rasmi secara dalam talian bagi membolehkan orang awam mengemukakan aduan dan maklum balas berkaitan kandungan terbitannya.
Saluran yang boleh diakses melalui https://mediaselangor.com/ms/aduan itu merangkumi semua platform penerbitan Media Selangor dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Inisiatif tersebut dilaksanakan selaras dengan Bahagian IV Akta Majlis Media Malaysia 2025 (Akta 868) serta Kod Tatalaku dan Mekanisme Ketidakpuasan Hati Majlis bagi memastikan setiap aduan diurus secara sistematik, telus dan berkesan.
Menurut Media Selangor, setiap aduan yang diterima akan melalui proses semakan dalaman sebelum tindakan susulan diambil oleh pihak berkaitan.
“Saluran ini disediakan bagi memudahkan orang awam mengemukakan aduan secara rasmi, sekali gus memastikan setiap maklum balas direkod dan ditangani secara profesional,” katanya dalam kenyataan.
Melalui saluran tersebut, pengadu perlu melengkapkan maklumat peribadi termasuk nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat dan emel.
Pengadu juga perlu mengemukakan maklumat berkaitan kandungan yang diadukan seperti salinan artikel, tangkap layar, pautan URL serta tarikh penerbitan.
Selain itu, sebarang surat-menyurat berkaitan, jika ada, turut boleh disertakan bagi membantu proses penilaian.
Pengadu turut diminta menjelaskan kesan peribadi yang dialami serta memaklumkan sekiranya perkara tersebut sedang dibicarakan di mahkamah.
Media Selangor turut membuka ruang kepada pengadu untuk menyertakan sebarang maklumat tambahan atau dokumen sokongan lain bagi mengukuhkan aduan.
"Mekanisme ini akan diperkukuh dari semasa ke semasa sebagai komitmen dalam menyediakan perkhidmatan media yang berkualiti, dipercayai dan berintegriti," katanya.
Dalam masa sama, Media Selangor menzahirkan penghargaan kepada Majlis Media Malaysia atas nasihat dan panduan sepanjang proses pembangunan mekanisme aduan berkenaan.








