SEPANG, 4 MEI: Malaysia terus memperkukuh komitmen menyokong Misi Global Sumud Flotilla 2026 dengan memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini kira-kira 100 kontena bantuan telah disalurkan melalui laluan darat, termasuk 40,000 tin daging sebagai keperluan asas penduduk.
“Usaha ini memerlukan perancangan rapi serta pematuhan kepada beberapa protokol tertentu sebelum bantuan dapat melepasi sempadan dan sampai ke destinasi dituju.
“Kita akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa kerana kawasan ini bukan zon selamat dan semua pihak perlu menghormati undang-undang serta peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Amirudin menegaskan Malaysia menjadi satu-satunya negara yang memberikan pengiktirafan rasmi di peringkat kerajaan terhadap misi berkenaan sekali gus menunjukkan pendirian tegas negara dalam isu kemanusiaan di Palestin.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memainkan peranan penting sebagai penaung kepada misi tersebut sama ada dalam kapasiti rasmi mahupun sebagai individu bagi memastikan usaha bantuan terus mendapat sokongan.
Amirudin menambah, langkah yang diambil Malaysia itu diharap dapat menjadi contoh kepada negara lain untuk turut memberikan pengiktirafan serta memperluaskan sokongan terhadap misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata komitmen berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada golongan memerlukan selain memperkukuh solidariti global terhadap rakyat Palestin.
Pada 4 April lalu, Amirudin turut diamanahkan oleh perdana menteri untuk mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta Delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.
Misi itu yang digerakkan oleh Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain bersama rakan strategik.
Misi berkenaan menyasarkan penghantaran 30 kontena yang mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin di Gaza.








