SHAH ALAM, 4 MEI: Golongan pekerja bukan sahaja menjadi pemacu utama ekonomi negara, malah perlu memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi bagi menjadi kesuma bangsa, tegas Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pekerja juga disaran untuk terus menambah ilmu dan seterusnya menguasai kemahiran bagi bersaing dalam pasaran kerja yang menawarkan pendapatan lebih tinggi.
“Pekerja bukan hanya menjadi nadi kepada pergerakan ekonomi. Kita perlu menjadi masyarakat Madani, dan ini perlu disokong dengan pekerja yang memiki nilai Madani iaitu nilai kemanusiaan yang tinggi dan keikhlasan yang baik.
“Dia juga adalah orang yang sentiasa mahu berubah, belajar, menambah baik nilai-nilai itu. Dan yang ketiga saya sebutkan pekerja harus mempunyai ehsan, diikuti dengan keikhlasan yang akan menjadikan kita kesuma bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor 2026 yang turut dihadiri EXCO Sumber Manusia V Papparaidu, di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berharap sektor swasta dan awam dapat mengenepikan perbezaan dan berganding mahu dalam menghadapi kesan krisis geopolitik di Asia Barat yang dijangka terus berlarutan.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus berusaha melindungi semua sektor terlibat sekali gus memastikan impak cabaran ekonomi semasa tidak dirasai rakyat.
“Sektor awam dan swasta perlu bersama-sama untuk melalui saat-saat yang agak sukar ini. Ini bukan masalah siapa yang akan kekal, atau siapa yang tidak akan kekal. Ini daya tahan kita bersama,” katanya.








