Kes 61 tikaman: Suspek utama dijangka didakwa Khamis ini

5 Mei 2026, 8:31 AM
Kes 61 tikaman: Suspek utama dijangka didakwa Khamis ini

SHAH ALAM, 5 MEI: Suspek utama dalam kes pembunuhan seorang penuntut kolej yang ditemukan dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Jumaat lalu, dijangka dihadapkan ke mahkamah Khamis ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata siasatan kes berkenaan kini hampir selesai dengan kira-kira 70 peratus telah dilengkapkan.

Beliau berkata, polis sedang dalam proses menyiapkan kertas siasatan sebelum pertuduhan dibuat terhadap seorang suspek.

"Seorang lagi suspek yang turut ditahan reman sebelum ini akan dibebaskan dengan jaminan polis.

"Suspek yang dijangka dituduh Khamis ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya seperti dilapor BH.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Jumaat lalu, mayat seorang wanita ditemukan di Kampung Padang Simah, Ketereh dengan 61 kesan tikaman di seluruh anggota badan.

Mangsa ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun identitinya berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Polis percaya mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tersebut.

Susulan kejadian, empat individu termasuk dua warga emas yang merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek ditahan reman bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, pasangan warga emas itu telah dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.