Pembangunan gedung e-sukan di tapak Hotel Carlton dimuktamad selepas SUKMA 2026

29 Apr 2026, 3:41 AM
Pembangunan gedung e-sukan di tapak Hotel Carlton dimuktamad selepas SUKMA 2026

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pembangunan gedung e-sukan di tapak Hotel Carlton, Seksyen 13, di sini, dijangka dimuktamadkan selepas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, susulan beberapa komitmen perjanjian lama yang masih mengikat tapak berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembangunan semula kawasan itu memerlukan masa kerana melibatkan perjanjian terdahulu yang perlu diselesaikan dan dihormati.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri kini di peringkat akhir memuktamadkan penyerahan tanah serta meneliti cadangan pembangunan yang dirancang sejak tahun lalu.

“Justeru pada tahun 2026 ini pentadbiran negeri akan muktamadkan penyerahan tanah tersebut dan terdapat beberapa waktu sahaja lagi untuk memuktamadkan perjanjian-perjanjian sebelum ini.

“Ia kerana pembangunan hotel tersebut mempunyai sejarah latar belakang yang panjang, bermula sebagai pejabat, asrama kemudian berubah menjadi hotel kemudian ia ditutup disebabkan kesan pandemik Covid-19.

“Jadi ada perjanjian yang sedikit mengikat mungkin akan menghalang pembangunan kawasan tersebut. Jadi kita menunggu waktu yang sesuai dan saya kira sekarang Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor sedang meneliti dengan beberapa pihak terhadap cadangan-cadangan (pembangunan) yang sudah mula masuk sebenarnya mulai tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Pua Pei Ling yang ingin mengetahui status terkini pembangunan e-gedung tersebut Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin menambah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor telah meluluskan penyerahan tanah tapak Carlton Hotel kepada MBI.

“Selaras dengan keputusan itu, MBI akan diberi mandat untuk menerajui pembangunan tapak berkenaan termasuk pemasangan hoarding di sekeliling kawasan sebagai persediaan awal pembangunan komersial.

“Cadangan tersebut turut merangkumi komponen e-sukan sebagai sebahagian daripada pembangunan keseluruhan, manakala perincian pelan akan dimuktamadkan melalui sesi libat urus lanjut bersama MMKN dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Pada November 2024, Dato’ Menteri Besar Selangor mengumumkan cadangan mengubah suai hotel berkenaan menjadi hab e-sukan dengan pelaburan sebanyak RM1 juta, bertujuan menjadikannya tuan rumah kejohanan e-sukan peringkat antarabangsa dan serantau.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.