Hotel Carlton lokasi strategik hab e-sukan, perlu masa selesai isu tanah

10 Jan 2026, 1:01 PM
Hotel Carlton lokasi strategik hab e-sukan, perlu masa selesai isu tanah

SHAH ALAM, 10 JAN: Hotel Carlton di Seksyen 13 dekat sini dikenal pasti sebagai lokasi strategik untuk pembangunan hab e-sukan di Selangor, namun pelaksanaannya masih terbengkalai akibat isu pemilikan dan status tanah yang belum diselesaikan.

EXCO Belia dan Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata sebarang pembangunan semula hanya boleh dilaksanakan apabila isu berkenaan dimuktamadkan sepenuhnya.

“Setakat semakan kami, perkara ini berada di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, namun terdapat isu berkaitan tanah yang memerlukan penyelesaian bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Buat masa ini, belum ada lokasi spesifik dikenal pasti. Cuma, Hotel Carlton dilihat paling strategik. Untuk tujuan latihan pula, kita masih menggunakan konsep sedia ada seperti di pusat beli-belah, dewan terbuka atau di ‘game house’ Selangor Red Giants sendiri.

“Dari segi kemudahan, ‘game house’ sedia ada mencukupi untuk latihan. Namun, sekiranya isu melibatkan Hotel Carlton dapat diselesaikan, kita akan melihat secara serius pembangunan hab e-sukan di lokasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Selangor Future Cup 2025/2026 Daerah Petaling di pusat beli-belah Central i-City, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Akhbar kepada Dato’ Menteri Besar Selangor Jay Jay Denis, memaklumkan Kerajaan Negeri kini sedang memuktamadkan proses pemindahan hak milik tanah dan menegaskan bangunan tersebut tidak pernah dirancang untuk dijadikan lokasi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

“Kami sedang memuktamadkan penyerahan hak milik tanah daripada syarikat yang sebelum ini mengendalikannya, namun gagal beroperasi pada tahap yang diharapkan.

“Hotel ini akan dirobohkan kerana struktur sedia ada sukar disesuaikan, dan akan dibina semula dari asas bagi membolehkannya berfungsi sebagai stadium e-sukan,” katanya dalam program Lunch On Us! terbitan Media Selangor.

Pada November 2024, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan cadangan mengubah suai hotel berkenaan menjadi hab e-sukan dengan pelaburan sebanyak RM1 juta, bertujuan menjadikannya tuan rumah kejohanan e-sukan peringkat antarabangsa dan serantau.