SHAH ALAM, 8 JAN: Penubuhan gedung e-sukan Selangor yang lengkap kemudahan bakal membuka lembaran baharu bagi menggilap bakat atlet e-sukan tempatan secara lebih tersusun dan profesional.
Pengasas bersama Selangor Red Giants berkata hab berkenaan perlu dilengkapi kemudahan selari keperluan semasa e-sukan, dengan tumpuan kepada kategori permainan popular di Malaysia dan acara yang dipertandingkan dalam kejohanan rasmi seperti Sukan Malaysia (SUKMA).
Menurut Simon Lim, Selangor boleh memulakan pembangunan dengan menyediakan kemudahan bagi kategori SUKMA seperti Mobile Legends, Honor of Kings, e-Football, e-Street Fighter, e-Sim Racing dan e-Chess, termasuk simulator e-sim racing, bilik latihan permainan mudah alih serta pentas pertandingan.
“Dalam e-sukan juga ada tiga pecahan iaitu mobile gaming (permainan mudah alih/menggunakan telefon pintar), consol gaming (permainan konsol) dan PC gaming (permainan komputer), yang paling popular di Malaysia dan Asia Tenggara adalah mobile gaming.
“Mobile gaming sangat popular di Malaysia dan Asia Tenggara. Jadi, kita perlukan beberapa bilik latihan, contohnya boleh menempatkan lima pemain dalam satu pasukan untuk merangka strategi dan sesi sparring, selain peralatan e-Sim Racing atau simulator yang lengkap dengan tempat duduk seperti kereta sebenar, stereng, gear dan tayar.
“Ia juga wajar dilengkapi pentas pertandingan berskala sederhana dengan tempat duduk penonton seperti mini auditorium bagi membolehkan penganjuran kejohanan atau pertandingan kecil di peringkat daerah, Negeri, sekolah atau universiti,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas perancangan Kerajaan Negeri untuk mengubah suai Hotel Carlton di Seksyen 13 sebagai gedung e-sukan Selangor, beliau menyambut baik cadangan tersebut, namun turut mencadangkan penempatan kemudahan sama di Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
“Pendapat saya lagi baik beri kita sedikit ruang di stadium (KSSA) baru itu. Sebab stadium baru di Shah Alam itu bukan sahaja untuk bola dan ia akan bertemakan sukan untuk rakyat Selangor yang akan menjadi bandar sukan.
“Jadi saya rasa lebih efisien kalau hab e-sukan berada di sana. Di sana kita boleh mengembangkan bakat-bakat kerana semuanya berkumpul untuk bersukan,” katanya.
Bina semula siap 2029
Setiausaha Akhbar kepada Dato' Menteri Besar Jay Jay Denis berkata pembangunan semula Hotel Carlton sebagai stadium e-sukan dijangka siap menjelang penganjuran edisi ketujuh Sukan Solidariti Islam (SSI) 2029 di Selangor.
Beliau berkata Kerajaan Negeri sedang memuktamadkan proses pemindahan hak milik tanah dan bangunan berkenaan juga tidak pernah dirancang untuk dijadikan arena SUKMA 2026.
“Kami kini sedang memuktamadkan penyerahan tanah yang tepat daripada syarikat sebelum ini yang mengendalikannya, namun gagal beroperasi pada tahap yang diharapkan.
“Hotel ini akan dirobohkan kerana ruang sedia ada sukar untuk disesuaikan, dan akan dibina semula dari asas bagi membolehkannya berfungsi sebagai stadium e-sukan,” katanya dalam program Lunch On Us! terbitan Media Selangor.
Pada November 2024, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan cadangan ubah suai hotel tersebut menjadi hab e-sukan dengan pelaburan sebanyak RM1 juta, bertujuan menjadi tuan rumah kejohanan peringkat antarabangsa dan serantau.


