SHAH ALAM, 26 APRIL: EXCO Selangor mengecam tindakan satu hantaran di media sosial yang menyunting gambar khinzir mengenakan pakaian istiadat istana, mengaitkannya dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Berikutan itu, EXCO Pelaburan Ng Sze Han menyeru pihak polis supaya mengambil tindakan tegas supaya pihak terbabit dikenakan hukuman berat selaras peruntukan undang-undang negara.
“Menyamakan mana-mana manusia dengan sifat binatang bukan sahaja tidak beradab malah turut melanggar norma serta tata susila seorang rakyat Malaysia.
“Perkara ini merupakan cubaan yang mampu mendatangkan kacau bilau dalam negara yang memilik rakyat berbilang bangsa,” katanya menerusi kenyataan.
Gambar khinzir memakai pakaian adat istana itu tular di media sosial sejak semalam bersama ayat yang menghina Sultan Selangor.
Ng yang juga Ahli Dewan Negeri Kinrara itu mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan kata-kata, gambaran menghina atau menjatuhkan mana-mana pihak kerana boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.
Sementara itu, portal berita Mandarin, Oriental Daily menafikan terbabit dengan hantaran terbabit memandangkan pihak tidak bertanggungjawab itu menggunakan logo syarikat berkenaan.
Menurutnya, Facebook Huayan The Pureland Learning Center yang didakwa memuatkan naik hantaran berkenaan kini tidak lagi boleh diakses selain hantaran asal tidak lagi ditemui.
“Hanya tangkap layar yang telah dikongsi, boleh dilihat. Kami ingin menegaskan kandungan tersebut sama sekali tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Oriental Daily,” menurutnya di laman web.
Akhbar berbahasa Mandarin itu juga memaklumkan mereka sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan sewajarnya.









