SHAH ALAM, 28 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan 170 notis terhadap peniaga pasar malam yang gagal menyediakan tong sampah di kawasan perniagaan masing-masing.
Tindakan itu diambil menerusi operasi pemantauan oleh Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan (PBK) di beberapa lokasi sekitar Ampang Jaya.
Menurut MPAJ, semakan mendapati kebanyakan peniaga tidak menyediakan tong sampah semasa menjalankan aktiviti perniagaan.
“Hasil operasi, 120 notis dikeluarkan di Pasar Malam Pandan Jaya, 30 notis di Pasar Malam Taman Muda dan 20 notis di Pasar Malam Taman Tasik Tambahan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Operasi berkenaan dilaksanakan selama dua hari iaitu pada 25 dan 26 April lalu melibatkan pemeriksaan di beberapa pasar malam utama.
Kesemua notis tersebut disampaikan melalui teguran lisan kepada peniaga sebagai peringatan supaya menyediakan tong sampah di tapak perniagaan masing-masing.
MPAJ memaklumkan kegagalan mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Undang-Undang Kecil 33 (UUK33) dan Undang-Undang Kecil Penjaja MPAJ 2007.
“Denda maksimum boleh dikenakan berjumlah RM1,000,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, pihak berkuasa tempatan itu turut melaksanakan program pendidikan masyarakat secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga.
Langkah itu bertujuan memastikan pengurusan sisa pepejal dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan di kawasan pasar malam.
MPAJ turut menyeru semua pemilik premis perniagaan supaya memberi kerjasama dalam pengurusan sampah demi menjaga kebersihan, kesihatan dan kesejahteraan komuniti.








