SHAH ALAM, 28 APRIL: Sejumlah RM800,000 diperuntuk bagi program Bantuan Rahmah Insan Istimewa Selangor (BRAIS) dalam membantu pembangunan dan pendidikan golongan orang kurang upaya.
EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata program itu menggantikan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan dijangka memanfaatkan 1,800 penerima.
“Program BRAIS 2026 dilaksanakan melalui Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) bagi membantu kos terapi intervensi awal, yuran awal pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), kemudahan tandas OKU serta peralatan dan ubat-ubatan.
“Bantuan akan disalurkan terus kepada pusat terapi, sekolah dan institusi berkaitan,” katanya.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Jeram Dato' Harrison Hassan berhubung usaha kerajaan membentuk bantuan lebih khusus kepada golongan OKU pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Dasar OKU Selangor yang bakal dilancar akan merangka aksesibiliti berhubung reka bentuk kenderaan dalam membantu golongan tersebut.
"Kerajaan Negeri juga dalam proses meneroka model kewangan mampan kerana untuk memberi bantuan kewangan social memerlukan keutuhan yang mampan.
"Pada masa sama, dengan pendataan, kita juga akan kenal pasti jumlah OKU dalam dan luar bandar bagi memudahkan bantuan mobiliti disalurkan," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) memaklumkan draf akhir dasar itu kini siap sepenuhnya dan menunggu untuk dibentang kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Danial Al-Rashid Haron memberitahu, semua proses di peringkat jawatankuasa telah selesai, termasuk penambahbaikan dan penyusunan semula teras pelaksanaan untuk memudahkan pengurusan dan pelaksanaan dasar.
Dasar OKU Selangor mengandungi lima teras strategik yang dirangka untuk tempoh lima tahun, dengan dua fasa pelaksanaan: dua teras untuk jangka pendek dan tiga teras untuk jangka panjang.
Teras strategik berkenaan ialah:
Kesejahteraan hidup dan kesaksama
Pendidikan dan pembangunan sepanjang hayat
Produktiviti pembangunan ekonomi
Aksesibiliti dan rekabentuk sejagat
Tadbir urus dan advokasi OKU








