Program InKerja buka peluang OKU jana pendapatan dari rumah Selangor

24 Nov 2026, 12:00 PM
Program InKerja buka peluang OKU jana pendapatan dari rumah Selangor

SHAH ALAM, 24 NOV: Program InKerja di bawah Program Inklusif Inovasi merekodkan 89 pendaftaran, melebihi sasaran awal 60 peserta bagi membuka peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS), Danial Al-Rashid Haron berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 48 peratus berbanding sasaran awal sekali gus mencerminkan sambutan positif terhadap inisiatif berkenaan.

"Peserta yang berjaya turut dibekalkan kit permulaan merangkumi papan lipatan, plastik pembungkusan dan bahan promosi serta beg Kasisetel yang dilengkapi kod rujukan individu bagi membantu mereka memulakan perkhidmatan.

"Kami menggalakkan masyarakat, agensi kerajaan dan pihak swasta memilih kategori Agent OKU dalam aplikasi berkenaan ketika membuat tempahan bagi menyokong peluang pekerjaan golongan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, hari ini.

Menurut Danial, program itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan syarikat Kasisetel yang menawarkan perkhidmatan melipat pakaian dari rumah melalui aplikasi dalam talian dengan 30 peserta berjaya melepasi latihan dan peperiksaan ditetapkan.

Katanya, kerjasama dengan Kasisetel itu merupakan inisiatif pertama seumpamanya bagi membantu OKU yang berdepan kekangan kesihatan dan pengangkutan untuk mendapatkan peluang pekerjaan dari rumah.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kasisetel, Nur Khalida Mohd Khalid Khan berkata tempoh menyiapkan tempahan Agent OKU dilanjutkan antara satu hingga lima hari bekerja mengikut kemampuan peserta.

Beliau berkata kadar perkhidmatan ditetapkan pada RM3.90 sekilogram manakala peserta turut berpeluang meningkatkan kemahiran termasuk dari segi pengurusan tempahan dan urusan dengan pelanggan.

“Selangor menjadi lokasi pertama pelaksanaan program InKerja dengan penyertaan serta penempatan peserta ditentukan berdasarkan kawasan tempat tinggal setiap Agent OKU bagi memudahkan mereka menerima dan menguruskan tempahan perkhidmatan.

“Melalui pengenalan kategori khusus Agent OKU dalam aplikasi, pelanggan kini boleh mengenal pasti dan memilih perkhidmatan yang ditawarkan golongan ini sekali gus memberi pengkhususan kepada peserta berbanding sebelum ini," katanya.

Untuk rekod, InKerja oleh Kasisetel merupakan inisiatif menjana pendapatan dari rumah khusus untuk golongan OKU di Malaysia menerusi penyediaan peluang pekerjaan yang fleksibel mengikut kemampuan dan kekangan masing-masing.

Program itu turut dibangunkan dengan kerjasama rakan strategik seperti Suara Wanita Inklusif Selangor (SUWANIS) dan MTOS bagi memperluas peluang pekerjaan yang inklusif kepada golongan berkenaan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.