SHAH ALAM, 27 APRIL: Pelan Induk Mobiliti Selangor yang merangkumi pembangunan menyeluruh jaringan pengangkutan awam dijangka dilancar tahun depan.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata draf pertama pelan itu, yang turut mengambil kira keperluan masa depan termasuk laluan pejalan kaki, dijangka siap menjelang Ogos ini.
“Tahun lalu, Kerajaan Negeri telah menambah baik laluan pejalan kaki dan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan kemudahan ini bersih, selesa serta bebas halangan seperti tiang lampu dan papan tanda.
“Oleh itu, Pelan Induk Mobiliti ini mengambil kira keperluan semasa dan masa hadapan semua pengguna. Ia dijangka dimuktamadkan Disember ini sebelum dilancar awal tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Terdahulu, Sze Han memaklumkan beberapa PBT sedang mempergiat usaha menyediakan laluan pejalan kaki yang lebih selesa dan bersih bagi pengguna pengangkutan awam.
“Di Shah Alam, laluan yang menghubungkan bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri ke pusat bandar dijangka siap tahun ini, termasuk ke Stesen Dato’ Menteri yang turut dilengkapi kemudahan mikromobiliti seperti e-skuter.
“Di Klang pula, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi pembinaan laluan pejalan kaki melibatkan LRT Pasar Jawa, Taman Selatan, Bandar Baru Klang dan Bandar Bukit Tinggi, dengan dua daripadanya telah siap.
“Di Selayang, PBT merancang membina laluan pejalan kaki dari Hospital Sungai Buloh ke KTM Sungai Buloh sepanjang 1.8 kilometer serta dari pusat bandar ke KTM Rawang sejauh 400 meter,” katanya.
Mengulas pembinaan pusat data, beliau berkata setiap cadangan pembangunan diteliti secara menyeluruh bersama agensi teknikal termasuk Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Perancangan Bandar.
“Kelulusan tidak akan diberikan jika kapasiti utiliti menjejaskan penggunaan domestik. Pengurusan air dilaksanakan secara terkawal dan mampan bagi memastikan bekalan kepada pengguna sedia ada tidak terjejas,” katanya.







