SINGAPURA, 10 JUN: Lawatan rasmi delegasi Selangor ke Singapura di bawah Program S R Nathan Fellowship membuka ruang strategik untuk memperkukuh usaha menarik pelaburan asing, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dalam pelbagai sektor berimpak tinggi.
EXCO Pelaburan, Ng Sze Han berkata misi tiga hari bermula Isnin lalu itu memberi peluang penting kepada Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, pelbagai sesi libat urus dilaksanakan termasuk pertemuan dengan kementerian dan agensi Singapura, selain Mesyuarat Meja Bulat Pelaburan anjuran bersama Invest Selangor dan OCBC Singapura yang menghimpunkan pemain industri antarabangsa.
“Lawatan kali ini kita kunjungi beberapa kementerian dan agensi selain mesyuarat meja bulat dianjur bersama Invest Selangor dan OCBC Singapura. Ini peluang kita mempromosi negeri dan tarik perhatian pelabur asing.
“Singapura merupakan hab kewangan untuk rantau Asia Tenggara. Jadi banyak syarikat datang, cari peluang membina syarikat dan saya yakin Selangor akan jadi destinasi utama pelabur asing,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata Selangor kini terus memperkukuh strategi menarik pelaburan berimpak tinggi, khususnya dalam sektor yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.
Dalam lawatan itu, delegasi Selangor yang diketuai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Singapura termasuk bekas Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Luar Vivian Balakrishnan dan Menteri Pendidikan Desmond Lee.

Selain itu, delegasi turut menyertai sesi libat urus bersama agensi dan pemain industri bagi mendapatkan taklimat berkaitan perancangan ekonomi, promosi pelaburan, pembangunan semula bandar serta perancangan bandar.
Program S R Nathan Fellowship diwujudkan bagi menggalakkan pertukaran pandangan serta perkongsian pengalaman antara pemimpin dan pegawai kanan luar negara dengan Singapura dalam pelbagai bidang strategik.







