Yayasan MBI sumbang barangan bernilai RM65,520 perkukuh kesiapsiagaan bencana

27 Apr 2026, 11:01 AM
Yayasan MBI sumbang barangan bernilai RM65,520 perkukuh kesiapsiagaan bencana
Yayasan MBI sumbang barangan bernilai RM65,520 perkukuh kesiapsiagaan bencana

SUNGAI BULOH, 27 APRIL: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbangkan barangan bantuan bernilai RM65,520 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana di negeri ini.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan itu diserahkan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM Sungai Buloh sebagai persediaan awal sebelum diagihkan kepada mangsa yang memerlukan.

Menurut beliau, antara barangan disumbangkan termasuk bantal, selimut, kit kebersihan serta pelbagai keperluan asas lain yang disimpan di depo berkenaan.

"Barangan ini akan digunakan untuk diagihkan kepada mangsa bencana atau menampung kekurangan stok di peringkat daerah," katanya ketika ditemui Media Selangor.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor melihat barangan sumbangan yang disimpan di Depoh Simpanan Keperluan Bencana JKM Selangor, Sungai Buloh pada 27 April 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Tambah beliau, pengurusan inventori dan proses agihan dikendalikan sepenuhnya oleh JKM dengan sistem rekod tersusun bagi setiap barangan yang disalurkan bagi mengelakkan sebarang ketirisan.

Pada masa sama, beliau memaklumkan setiap daerah di Selangor mempunyai depo simpanan JKM dan setakat ini kemudahan sedia ada mencukupi untuk menempatkan pelbagai barang keperluan.

Namun katanya, fokus ketika ini adalah kepada penambahan stok bekalan bagi memastikan ekosistem bantuan kekal efisien tanpa keperluan membina depo baharu.

"Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan komited memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan kepada rakyat, selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.