43 keluarga mangsa ribut Kampung Delek terima bantuan Yayasan MBI

21 Okt 2026, 10:00 AM
43 keluarga mangsa ribut Kampung Delek terima bantuan Yayasan MBI
43 keluarga mangsa ribut Kampung Delek terima bantuan Yayasan MBI
43 keluarga mangsa ribut Kampung Delek terima bantuan Yayasan MBI

KLANG, 21 OKT: Seramai 43 keluarga yang terjejas akibat ribut di Kampung Delek pada 2 Mei lalu menerima bantuan RM500 daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan berjumlah RM21,500 itu bertujuan meringankan beban penduduk yang mengalami kerosakan kediaman dan harta benda akibat bencana berkenaan.

“Kita memperuntukkan RM21,500 bagi tujuan ini dan bantuan ini juga merupakan salah satu usaha untuk membantu memenuhi keperluan keluarga yang terjejas akibat bencana.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor ditemui media selepas Majlis Serahan Sumbangan Mangsa Bencana Ribut Kampung Delek di Balai Raya Kampung Delek, Klang pada 21 Oktober 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Semoga sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban dan memberi manfaat kepada semua keluarga yang terlibat,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Ketua Kampung Kampung Delek, Abdullah Abd Rani berkata sumbangan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban penduduk, selain membantu memulihkan semangat mereka selepas ditimpa bencana.

Ketua Kampung Kampung Delek, Abdullah Abd Rani. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Walaupun jumlah bantuan ini tidak begitu besar, ia sangat membantu mangsa yang terjejas terutama daripada sudut psikologi dan dapat menampung sedikit kerugian dialami.

“Ketika kejadian kita mengambil inisiatif mencari agensi yang boleh membantu penduduk dan bersyukur apabila Yayasan MBI tampil menghulurkan bantuan,” katanya.

Pada 2 Mei lalu, ribut melanda Kampung Delek sehingga menyebabkan kerosakan kediaman dan harta benda, sekali gus menjejaskan kehidupan 43 keluarga.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.