SHAH ALAM, 26 JUN: Penerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang lahir antara Julai hingga September serta telah menerima kelulusan boleh menebus baucar masing-masing bermula 1 Julai ini di Dewan MBPJ SS21, Damansara Utama.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata penebusan baucar bagi penerima Fasa 3 itu diadakan selama dua hari, iaitu pada 1 dan 2 Julai, dari 11 pagi hingga 4 petang.
Beliau berkata program berkenaan turut menyediakan perkhidmatan kemas kini Khairat Darul Ehsan (KDE) untuk memudahkan urusan penduduk.
Katanya, penebusan baucar hanya melibatkan penerima hari lahir Julai, Ogos dan September di bawah Fasa 3 serta pengundi berdaftar di DUN Bandar Utama.
“Penerima perlu membawa kad pengenalan asal bagi tujuan pengesahan ketika membuat tuntutan.
“Bagi urusan kemas kini KDE pula, pemohon perlu membawa kad pengenalan asal, alamat e-mel yang aktif serta maklumat pewaris termasuk kad pengenalan dan alamat e-mel,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan status kelulusan SMUE dan lokasi pusat mengundi sebelum hadir bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Menurutnya, walaupun permohonan SMUE telah diluluskan, baucar hanya boleh ditebus di DUN Bandar Utama sekiranya penerima merupakan pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.







