Kerajaan Negeri muktamad cadangan buka semula pendaftaran SMUE

5 Ogos 2026, 4:15 AM
Kerajaan Negeri muktamad cadangan buka semula pendaftaran SMUE

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Negeri sedang memuktamadkan cadangan untuk membuka semula pendaftaran baharu bagi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS).

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata cadangan itu akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi mendapatkan pertimbangan dan kelulusan sebelum dilaksanakan.

Beliau berkata Kerajaan Negeri menyasarkan keputusan mengenainya dapat dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini, selewat-lewatnya menjelang penghujung September.

"Kerajaan Negeri kini sedang memuktamadkan cadangan pembukaan semula pendaftaran baharu.

"Cadangan tersebut akan dibentangkan kepada MMKN untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum pelaksanaannya," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pelek Lwi Kian Keong pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Anfaal turut memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM55 juta bagi pelaksanaan SMUE dan SMIS menerusi Belanjawan Selangor 2026.

Beliau berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan warga emas serta orang kurang upaya terus diberi perhatian melalui kedua-dua skim berkenaan.

Maklumat lanjut berkaitan Skim Mesra dan tuntutan baucar boleh diperoleh melalui laman sesawang mesra.yawas.com.my atau menghubungi YAWAS di talian 03-5481 8800.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.