SHAH ALAM, 8 JUN: Di sebalik landskap bandar matang dan nilai hartanah yang tinggi, Kampung Tunku tidak terlepas daripada isu kemiskinan bandar yang sukar dikesan.
Wakil rakyatnya Lim Yi Wei berkata, sebahagian penduduk yang kelihatan hidup selesa sebenarnya berdepan kesempitan hidup akibat perubahan mendadak dalam keadaan keluarga dan kewangan.
Menurutnya, terdapat penduduk yang tinggal di rumah mewah, namun berdepan kesempitan hidup apabila pencari nafkah utama jatuh sakit, meninggal dunia atau berlaku perceraian.
"Kampung Tunku tidak terkecuali daripada isu kemiskinan bandar dimana ramai penduduk memiliki aset tetapi tidak mempunyai pendapatan boleh guna yang mencukupi apabila berdepan situasi tertentu.
"Kami bekerjasama dengan persatuan penduduk dan NGO untuk mengenal pasti keluarga-keluarga ini serta membantu mereka memohon bantuan yang layak diterima," katanya dalam program SKOP terbitan Media Selangor baru-baru ini.

Beliau kini memberi tumpuan kepada golongan 'working families' atau keluarga bekerja yang sering terlepas daripada bantuan kerana kekangan masa untuk hadir ke pusat khidmat atau program komuniti.
Antara inisiatif yang paling membantu penduduk Kampung Tunku ketika ini ialah Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang sering mendapat sambutan menggalakkan dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup.
DUN Kampung Tunku merupakan kerusi majoriti kaum Cina dengan 72.5 peritus pengundi, diikuti Melayu 15 peritus, India 10.1 peritus dan lain-lain 2.5 peritus.
Pada 2023, Lim Yi Wei calon DAP menang besar buat kali kedua dengan majoriti 30,273 undi.

Persediaan hadapi peningkatan populasi warga emas
Kampung Tunku turut berdepan fenomena bandar menua lebih-lebih lagi kawasan tersebut antara DUN yang mempunyai populasi warga emas tertinggi di Selangor.
Katanya, pelbagai usaha dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi menaik taraf kemudahan awam agar lebih mesra warga emas.
"Malaysia masih belum benar-benar bersedia menghadapi masyarakat menua dan ini ntara perkara yang membimbangkan ialah tahap kesihatan warga emas yang tidak begitu memuaskan," katanya.
Menurut beliau, usaha membudayakan gaya hidup sihat perlu bermula lebih awal dan tidak hanya tertumpu kepada saringan kesihatan, selain penambahbaikan infrastruktur serta penganjuran kelas penggunaan telefon pintar untuk membantu warga emas mengikuti perkembangan teknologi.
"Mereka diajar menggunakan WhatsApp, membuat bayaran parkir, menempah Grab dan menguruskan temu janji hospital. Kita mahu warga emas tidak berasa ketinggalan dan terus menjadi sebahagian daripada komuniti," ujarnya.

Pada tahun 2023, Selangor mencatatkan jumlah warga emas seramai 822,000 orang iaitu 11.4 peratus.
Menurut data Kerajaan Negeri, Selangor mempunyai kira-kira 869,600 warga emas berusia 60 tahun ke atas, manakala lebih 418,799 daripadanya berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE).








