SHAH ALAM, 25 JAN: Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) dilantik sebagai wakil Asia Tenggara dalam Commonwealth Parliamentary with Disabilities (CPwD), sekali gus memperkukuh peranan Selangor dan Malaysia dalam memperjuangkan hak golongan OKU di peringkat antarabangsa.
Danial Al-Rashid Haron yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga menyifatkan pelantikan itu sebagai amanah besar, bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi kepercayaan untuk membawa suara OKU rantau Asia Tenggara ke peringkat Komanwel.
“Mungkin kerana latar belakang saya yang lama terlibat dalam isu OKU. Wakil dari negara lain seperti India dan Australia juga mempunyai latar belakang sama, aktif memperjuangkan kebajikan OKU di negara masing-masing,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata Malaysia diiktiraf sebagai antara tonggak utama Persatuan Parlimen Komanwel (CPA), malah sering dijadikan rujukan dalam aspek tadbir urus dan pembangunan institusi.
“Dengan pengalaman di Selangor, saya akan berusaha menyumbang secara berprinsip, inklusif dan berintegriti supaya suara OKU terus diangkat di peringkat serantau dan Komanwel,” katanya.
Menurut Danial, antara perancangan awal ialah menganjurkan persidangan mini peringkat Asia Tenggara sebelum persidangan tahunan CPA, bagi menghimpunkan pandangan serantau berkaitan dasar dan kebajikan OKU.
“Kita mahu bawa suara Asia Tenggara ke peringkat lebih tinggi, khususnya berkaitan polisi, strategi dan kerangka antarabangsa yang melibatkan OKU,” katanya.
Danial yang menerajui MTOS sejak 2024 sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) dari 2020 hingga 2023.
CPwD yang ditubuhkan pada 2017 berfungsi sebagai platform Parlimen Komanwel bagi meningkatkan kesedaran, advokasi dan kerjasama dalam menangani isu membabitkan golongan OKU di peringkat global.


