SHAH ALAM, 21 JAN: Pendidikan percuma untuk orang kurang upaya (OKU) yang menyambung pelajaran dijangka meningkatkan kebolehpasaran serta kualiti hidup golongan itu dalam jangka panjang, kata Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS).
Pengerusinya Danial Al-Rashid berkata inisiatif ini merupakan langkah progresif dan berimpak tinggi dalam memperkukuh prinsip keadilan sosial serta memastikan golongan OKU mendapat akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif.

“Pendidikan adalah asas utama pemerkasaan OKU dan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan menyediakan sokongan tambahan, termasuk kemudahan akses fizikal, bahan pembelajaran mesra OKU, sokongan akademik, serta kebajikan pelajar.
“Ini menjadi titik reformasi dalam ekosistem pendidikan inklusif negara. MTOS sedia menjadi rakan strategik dalam memperjuangkan hak serta potensi golongan OKU,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Danial menambah, Kerajaan Selangor komited terhadap isu ini dan turut menyelaras pelbagai dasar, program serta kerjasama strategik dengan institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan, selaras dengan Dasar OKU Selangor.
“Pendekatan bersepadu bersama Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan manfaat dasar ini benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kira-kira 3,000 pelajar OKU di institut pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti akan menikmati pendidikan percuma.
Beliau turut memaklumkan bahawa pendidikan percuma bagi pelajar miskin di IPTA akan ditingkatkan kepada 10,000 pelajar pada tahun ini ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035.



