Komuniti Friends of Rivers (FOR) mata, telinga pihak berkuasa pantau sumber air

22 Okt 2026, 7:19 AM
Komuniti Friends of Rivers (FOR) mata, telinga pihak berkuasa pantau sumber air

SHAH ALAM, 22 OKT: Komuniti Friends of Rivers (FOR) berperanan membantu pihak berkuasa memantau aktiviti mencurigakan di kawasan sungai, sekali gus menyokong usaha pemuliharaan sumber air di Selangor.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata perkara tersebut ditekankan dalam Bengkel Friends of Rivers Negeri Selangor 2026, yang bertujuan meningkatkan kefahaman komuniti mengenai tanggungjawab memastikan sumber air terus bersih, lestari dan terpelihara.

“Tujuan utama bengkel yang dikendalikan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) hari ini adalah untuk berkongsi dengan ahli-ahli FOR garis panduan berhubung bagaimana menguruskan aktiviti di sungai dan apa yang tidak boleh dilakukan.

“Ini penting untuk mengelakkan daripada pelaku melakukan aktiviti-aktiviti yang membawa masalah kepada pengurusan sungai,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan bengkel itu di Selangor International Trade Center (SITC), Shah Alam hari ini.

FOR diwujudkan menerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemuliharaan Sungai-Sungai di Negeri Selangor bagi memantau dan merancang program pemuliharaan sungai di seluruh negeri. Inisiatif itu dilancarkan secara rasmi pada 26 September 2020 sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia 2020 peringkat Selangor.

Selain membantu memantau sungai, FOR turut menjadi platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama dan komunikasi antara komuniti, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

Setakat September 2026, sebanyak 58 komuniti aktif berdaftar di bawah inisiatif itu dengan sekurang-kurangnya 555 program atau aktiviti direkodkan, bersamaan purata 138 aktiviti setahun.

Bagi memudahkan komuniti merekodkan aktiviti pemuliharaan, LUAS membangunkan aplikasi FOR yang mula digunakan pada 2022.

Aplikasi versi mudah alih pula dilancarkan pada 13 Jun 2026 bagi memudahkan komuniti dan orang awam mendaftar serta merekodkan aktiviti FOR.

Kerajaan Negeri berharap lebih banyak komuniti dan penggiat alam sekitar menyertai usaha pemuliharaan sungai, termasuk melalui aktiviti sukarela seperti mengutip sampah bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti sumber air negeri.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.