SHAH ALAM, 17 JULAI: Sejumlah RM184 juta diperuntukkan bagi melaksanakan kerja turapan dan penyelenggaraan jalan di seluruh Selangor sepanjang tahun ini.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata sebahagian jumlah melibatkan kos RM30 juta bagi menjalankan 51 kerja bawah Program Turapan Mega selain RM32 juta diberi kepada pihak berkuasa tempatan.
“Bawah PBT, sebanyak 57 kerja akan dilaksanakan. Keseluruhan jumlah ini turut merangkumi kerja naik taraf jalan bawah Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta jalan kampung (PLB).
“Inisiatif ini akan mempercepatkan pelaksanaan kerja penyelenggaraan jalan selain memastikan kemudahan jalan raya lebih selamat dan selesa untuk rakyat Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Cabutan Undi Kerja-Kerja Penyelenggaraan Jalan bawah pengurusan INFRASEL 2026 di Stadium Mini JKR, dekat sini.
Izham berkata semua kontraktor yang berhasrat mendapatkan tender berkenan perlu mematuhi syarat kelayakan antaranya sah berdaftar dengan INFRASEL.
Menurutnya, pihak kontraktor juga perlu mempunyai pendaftaran yang masih aktif dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) selain mempunyai pengalaman menyelenggara jalan.
“Saya berharap kontraktor yang berjaya akan melaksanakan amanah ini dengan penuh integriti, mematuhi spesifikasi yang ditetapkan dan menyiapkan projek mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat Selangor,” katanya.











