SABAK BERNAM, 26 APRIL: Projek Rumah Idaman Qaseh di Taman Air Manis di sini memberi peluang kepada golongan belia memiliki rumah pertama pada harga mampu milik dengan proses permohonan yang mudah dan cepat.
Rata-rata penerima kunci meluahkan rasa syukur kerana akhirnya berjaya memiliki kediaman sendiri pada usia muda, sekali gus membantu mereka merancang masa depan bersama keluarga.
Penerima dari Sungai Besar, Ong Zi Chuan, 24, berkata beliau bersyukur apabila impian memiliki rumah sendiri pada usia muda akhirnya tercapai menerusi projek berkenaan.
Menurut pengurus gudang itu, urusan pembelian dipermudah dengan keperluan dokumen yang minimum, sekali gus mempercepatkan proses kelulusan.

“Bayaran bulanan juga agak rendah dan ini sangat membantu golongan muda untuk membeli rumah serta mengurus kewangan mereka dengan lebih baik.
“Rumah Idaman ini juga sangat sesuai untuk didiami bersama keluarga kerana reka bentuknya luas, selesa dan mempunyai konsep kediaman yang baik,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, projek seperti itu wajar diteruskan kerana ramai belia masih berdepan kesukaran untuk memiliki rumah pertama.
Sementara itu, pembantu akauntan, Tan Kai Ting, 23, berkata peluang memiliki kediaman sendiri pada awal kerjaya membantu dirinya merancang kewangan dengan lebih baik.

Katanya, harga yang berpatutan menjadikan projek itu pilihan sesuai, khususnya bagi mereka yang baru bekerja.
“Ramai rakan saya sendiri masih belum mampu membeli rumah kerana harga pasaran yang semakin meningkat.
“Saya berharap Kerajaan Selangor dapat memperbanyakkan lagi projek seperti Rumah Idaman ini supaya lebih ramai belia berpeluang memiliki rumah sendiri dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Bagi pembantu tadbir, Mohd Ridzuan Mohd Halmi, beliau tidak menyangka permohonannya untuk memiliki kediaman sendiri diluluskan dalam tempoh yang singkat.
Katanya, permohonan yang dibuat pada Februari berjaya diluluskan pada Ogos tahun lalu, sekali gus membuktikan proses yang efisien dan teratur.

“Harga rumah ini sangat berpatutan dan bayaran bulanannya rendah, sekali gus menjadikannya pilihan terbaik untuk golongan berpendapatan sederhana.
“Rumah Idaman benar-benar merupakan rumah mampu milik yang membantu rakyat memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Beliau turut berharap Kerajaan Negeri memperluaskan hebahan projek perumahan berkenaan bagi memastikan lebih ramai golongan muda mendapat maklumat dan berpeluang memohon.










