Oleh Sarah Ross
Ilustrasi Muizzah
Hari ini kami diminta menyiapkan sebuah karangan tentang cita-cita. Fikiran saya buntu memikirkan, apa cita-cita saya? Keluarga saya miskin, hidup kami serba kekurangan. Saya tidak pernah membawa bekal ke sekolah kerana yang mampu disediakan emak setiap pagi adalah sepiring permohonan maaf, dan sepotong pesanan, belajar baik-baik. Ketika kawan-kawan mengisi perut di kantin, saya cuma mengalas kelaparan dengan kesabaran.
"Tulislah, awak nak jadi apa besar nanti. Kalau jadi doktor, berkhidmat menyelamatkan umur. Kalau jadi guru, berjasa membangun sebuah tamadun."
"Saya tak mahu jadi doktor, cikgu. Saya juga tak mahu jadi guru."
"Awak nak jadi apa, Airul?"
Saya terpinga-pinga, segan untuk menjawab. Betulkah itu cita-cita saya? Saya ragu. Malam ini, saya mendengar emak terbatuk-batuk. Rumah kami tiada bilik. Cuma ruang yang dipisahkan tirai lusuh bertampal-tampal, tidak pernah berganti. Jika dilubangi jelaga pelita, emak akan menampalkan perca, sisa kain yang sering dikutip daripada nyonya Cina yang banyak mengambil upah menjahit pakaian.
Daripada perca itulah, kami terselamat daripada bertelanjang. Saya tidak peduli jika ada rakan yang mengejek. Sekurang-kurangnya, dia tidak melihat tubuh saya yang kering dengan timbul rusuk yang boleh dilihat dari jauh.
Keriut di pintu menyedarkan saya tentang keperihan ayah berjuang melawan gelombang. Ayah pergi lagi malam ini, bahkan setiap malam, tanpa culas. Saya juga tahu, ada hari-hari, ayah membawa melodi perutnya sebagai hiburan di laut sunyi. Kalaulah ayah tidak perlu kelaparan, alangkah lapangnya hati saya.
Bayang-bayang ayah di bawah suluhan rembulan kian panjang. Saya menghantar pemergiannya dengan doa di lantai pengharapan. Paling rendah dan amat dekat dengan Tuhan. Saya bercakap-cakap dengan bahasa hamba, dan bertanya, apakah ada jalan keluar? Jiwa saya terluka melihat keperitan hidup emak dan ayah.
Rupa-rupanya, Tuhan membalas pertanyaan saya dengan memberikan idea untuk menyiapkan tugasan, yang lelah saya fikirkan sejak di sekolah tadi. Luntur segala kerunsingan saya. Lilin yang dipadam tadi, kembali menyala sumbunya. Pensel kontot saya melayah di atas kertas bergaris biru, mencatatkan warna-warna hitam kehidupan.
Deheman pendek yang agak keras mengejutkan saya. Itu bukan batuk-batuk emak yang semakin kuat menyerang. Ilham yang deras mengalir juga serta-merta terhenti. Saya berada di mana? Bukankah tadi saya sedang sibuk menuliskan cita-cita paling tinggi? Mengapa saya mendengar bunyi bising seakan-akan berada di sebuah pesta? Saya mengangkat wajah, melihat punca suara. Saya tersentak.
Di hadapan saya kelihatan seorang manusia bersaiz gergasi, dengan sudu di tangan kanan, dan garpu di tangan kiri, bersedia mengaup saya masuk ke rahang mulutnya yang luas menganga. Buru-buru saya bangkit, meloncat dengan tangkas. Hampir-hampir saja nyawa saya berakhir menjadi seleranya.
Dada saya berombak kencang, mungkin lebih ganas daripada semua gelora yang pernah menguji ayah. Fikiran saya berkecamuk dengan ketakutan dan rasa keliru. Saya bermimpi agaknya, tetapi mimpi ini sungguh mengerikan!
Saya cuba berlari di celahan kutleri yang agam, jauh lebih besar daripada tubuh saya. Di sini, saya menjangka, saiz saya tidak lebih besar daripada seekor semut. Adakah ini dendam daripada semut yang merajuk setelah saya enggan memberikan sisa gula kami yang terakhir kepadanya? Salahkah saya berjuang untuk nasib sendiri?
Kalau pun saya cuma bermimpi, saya tetap harus selamat. Jika saya mati dalam mimpi ini, adakah saya akan benar-benar mati di dunia nyata? Kesedihan akan membuat batuk emak kian memburuk, dan bagaimana ayah mahu meneruskan hidup tanpa kami?
Langkah saya di medan pelarian ini bertambah tangkas, melompat-lompat dari pinggan ke pinggan. Setiap kali itulah, nyawa saya bagai direntap-rentap. Tikaman garpu yang hampir menusuk daging, begitu mencemaskan. Tidak, saya tidak akan mengizinkan tubuh saya dikunyah mereka!
Saya nekad berjuang untuk hidup, sebagaimana perjuangan cita-cita yang saya karang di bawah simbahan kecil lilin yang semakin memendek.
Cita-cita saya mahu menjadi beras. Saya tahu, emak dan ayah sudah seminggu tidak makan nasi, meski sebutir. Baki beras yang hanya selapis di dalam tempayan kecil di penjuru dapur kayu, berjimat cermat emak jadikan semangkuk kecil bubur untuk saya setiap hari. Saya tidak melihat mereka makan, kecuali beberapa potong ubi kayu rebus tanpa cicah. Garam yang tersisa sesudu makan, juga emak perisakan ke dalam sajian saya.
Saya mahu menjadi butir-butir beras yang memenuhi tempayan kecil kami, agar emak dan ayah tidak perlu berpura-pura kenyang. Setiap kali saya menelan bubur enak air tangan emak yang penuh kasih sayang, saya membalasnya dengan senyuman dan pujian. Bukan saya tergamak memenuhi lambung sendiri. Saya sekadar mahu emak dan ayah tenang melihat saya terus bertahan hidup.
Sekuat mana saya berusaha memperjuang nasib diri, saya akhirnya terjerat di dalam sudu bersama-sama butir-butir nasi dan lauk-pauk. Baru saya perasan, tubuh saya serba putih. Saya benar-benar menjadi beras yang siap ditanak. Cita-cita saya telah menjadi kenyataan!
Hampir saya bersorak kegembiraan, tetapi sebaik sahaja terasa diangkat, saya melihat wajah yang mahu menelan saya dengan penuh takut. "Tolong selamatkan saya! Saya hanya mahu jadi beras untuk mak dan ayah!"
Namun, tiada yang mendengar suara kecil saya. Saya semakin hampir ke ngangaan gelap, yang sebentar lagi akan melumatkan seluruh tubuh saya. Dengan sekuat hati saya menjerit, "Tolong selamatkan saya! Emak dan ayah tak boleh bersedih lagi!"
Tetapi, suara saya semakin lama semakin tenggelam. Setitis air bersaiz mega dari ngangaan gelap tadi menimpa saya. Saya menggelepar kelemasan.
"Airul!"
Suara cikgu menyentak. Saya kini dikelilingi rakan sekelas. Mata kami saling menyentuh jiwa, sebelum cikgu memeluk saya sangat erat.








