Gulp-Gulp-Gulp

12 Apr 2026, 1:44 AM
Gulp-Gulp-Gulp

Oleh Haniff Yusoff

Ilustrasi Muizzah

Saya cuba melupakan segala mimpi ngeri yang menjerut seluruh kehidupan saya. Mimpi yang telah memamah segala semangat dan motivasi saya untuk menikmati kehidupan. Kedunguan saya yang tidak pernah berkira, menyantuni sesiapa sahaja dengan senyuman telah menghadirkan mimpi-mimpi yang tidak terduga. Saya tidak mahu menyalahkan takdir, mahupun sesiapa. Biarlah segalanya terus lupus daripada ingatan, dan menjadi sempadan dalam kehidupan. 

Dua hari lalu, saya terjaga daripada suatu lagi mimpi ngeri. Saya bingkas bangun dengan peluh berjuraian. Saya meneguk air suam yang tersedia di atas meja sisi katil, cuba menyisih segala kengerian masa silam. Saya bersiap kemudiannya dan keluar dari rumah, cuba menjadi saya yang baharu. Dingin pagi menerpa dengan aroma dedaunan yang dibasahi embun. Saya menyapa kemanusiaan yang berjajaran, yang saya temui pada pagi itu sebelum sampai ke kawasan parkir kereta. 

Kesesakan sudah menjadi kelaziman setelah menyusuri simpang masuk ke jalan utama. Masing-masing punya tujuan demi kelangsungan hidup. Tidak terkecuali, mungkin juga ada yang sedang berusaha mengurangkan tekanan kehidupan. Dan saya antara mereka yang mempunyai tujuan dan usaha yang dimaksudkan. Saya mengharungi kesesakan pagi kerja, berselang-seli menekan pedal brek, mengurangi kelajuan dan adakalanya berhenti. Begitulah berulang kali sehingga saya tiba di suatu simpang, yang jaraknya kira-kira lagi 10 minit untuk tiba di pekarangan pejabat. Lampu merah menyala begitu lama, tanpa bertukar ganti warna seperti selalunya. Saya capai sebotol air mineral, saya teguk, mengisi ruang-ruang kelelahan menunggu.

Gulp-gulp-gulp.

Detik ketika air mineral melalui kerongkong saya itulah, saya mula mengingati mimpi ngeri yang tidak mahu saya kenangkan lagi. Sekilas saya memandang dalam kabur, lampu isyarat masih belum berganti warna. Perlahan-lahan mulut botol air mineral menyedut bibir saya, dagu, hidung, mata, kepala dan ya akhirnya seluruh tubuh saya sudah berada di dalam botol air mineral tersebut, berdiri tegak di atas lantai kereta.

Awalnya, saya hampir kelemasan, bergelut dengan ketumpatan untuk mendapatkan ruang dan udara nan tipis. Dada saya terasa mampat, payah bernafas. Meskipun ini merupakan kali pertama saya terperangkap dalam sebotol air mineral berisi padu 500 mililiter yang hampir setengah isinya saya teguk, mampat dada ini bukanlah hal baru, malah sering berlaku. Ia selalu berlaku apabila saya tidak tahu untuk berkata ‘tidak’. Ketidakupayaan saya mengujarkan kata ‘tidak’ itulah yang mengheret pergelutan di tempat kerja, tatkala saya dilambakkan dengan tugasan yang langsung tidak bersangkutan dengan lapangan tugas hakiki sendiri.

Ya, saya terperangkap dalam botol air mineral yang isi padu airnya 500 mililiter. Saya sedaya upaya berenang seperti yang diajar Doktor Hans agar dapat meredah lautan kehidupan yang menduga keupayaan, kehambaan. Tapi ini botol air mineral! Saya cuba mengawal pernafasan yang tersisa. Dalam kegelisahan yang menggigit, saya memujuk diri agar tidak cemas melewati ketentuan.

Ada suara yang bertalun-talun dalam botol air mineral ini. Suara yang pernah saya dengari, suara yang minta dikasihani. Suara penuh kesayuan itu terus bergema sehingga saya benar-benar mendengar dan begitu mengenali bahawa itu adalah suara hati saya sendiri. Suara tentang ketidakrelaan saya menyiapkan tugasan orang lain yang bukan kepakaran saya. Tentang canda tawa yang menyindir keperibadian. Tentang maki herdik yang hampir setiap hari harus ditelan. Saya terasa sebak memberat di dada. Saya tidak boleh berbohong kepada diri sendiri tentang rasa-rasa yang saya alami.

Saya nampak kelibat diri pada dinding botol air mineral yang lutsinar. Kabur. Tetapi masih dapat saya lihat wajah saya yang pucat lesu. Sakit. Sinar mata saya tenggelam dalam lekuk cengkung.

 Botol air mineral ini seperti sedang mengajar saya tentang ketidaksempurnaan saya yang sering kali berpura-pura. Topeng kepura-puraan yang selama ini saya sarung mulai retak menjadi serpihan-serpihan, tenggelam ke dasar botol. Adakah kalian yang masih baik terhadap saya telah pun menyedari kepalsuan senyuman saya selama ini?

Maafkan saya! Maafkan saya! Maafkan saya!

Rasa bersalah mula menghimpit dada, membebani sisa-sisa nafas jadi kian sesak. Beban itu menghunjam jasad saya jatuh menjunam ke dasar botol air mineral yang dingin. Saya hanya berserah kepada segala kejadian tanpa memikirkan lagi sebarang kemungkinan. Saat itulah suara Doktor Hans bergema, “Tenang…tenang…Kamu tak perlu minta maaf... Kamu sebenarnya lelah memikul segala hal yang bukan milik kamu. Belajarlah untuk melepaskan.” Pesan Dr. Hans bagaikan pelampung saat itu. Saya mula berasa sedikit selamat.

Saya memerhati sekeliling dengan sisa kepercayaan bahawa sesuatu akan muncul dan menyelamatkan saya. Saya menghembus sedikit nafas, cuba mengurangkan kepadatan di dada. Beberapa gelembung udara muncul dari mulut. Saya teringatkan puisi masyhur karangan Usman Awang: akan kupintal buih-buih; menjadi tali; mengikatmu; akan kuanyam gelombang-gelombang; menjadi hamparan; ranjang tidurmu.

Gelembung-gelembung udara semakin membesar, seolah-olah membesarkan harapan saya. Saya berenang menghampiri salah satu gelembung udara itu lalu cuba masuk ke dalamnya. Saya menyelinap masuk dan ternyata gelembung udara itu tidak pecah. Ia seperti kapsul yang menyelamatkan. Seolah-olah seperti sebuah kapal selam yang menawarkan oksigen secukupnya untuk harapan hidup saya yang mahu karam. Dinding gelembung udara yang lutsinar menjadi perisai ampuh, melindungi diri daripada tekanan air yang cuba menghancurkan jasad ini. Di dalamnya, saya mula dapat merasakan ketenangan. Perlahan-lahan gelembung udara itu membawa saya terapung di permukaan air.

Saya tidak lagi tergapai-gapai seperti pada mulanya. Suara hati saya telah membantu saya, menyelamatkan saya daripada malapetaka dunia. Suara hati itulah yang mengingatkan bahawa ketidakberanian hanya akan menjadi akar membelit diri sehingga kelemasan. Dengan segala keyakinan yang baru, saya cuba menolak dinding botol air mineral dengan harapan ia akan merebah dan saya dapat keluar dari mulutnya.

Botol jatuh. Saya keluar. Saya lihat lampu isyarat yang sudah bertukar warna. Deretan kenderaan mula bergerak. Saya mula dapat bernafas tenang. Apakah saya akan terperangkap dalam botol air mineral lagi? Sungguh, saya tidak pasti. Tetapi, paling tidak saya sudah maklum rencana yang harus saya persiapkan!


Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.