Pendaftaran kad autisme meningkat, tahap kesedaran masyarakat semakin tinggi

23 Apr 2026, 3:35 PM
Pendaftaran kad autisme meningkat, tahap kesedaran masyarakat semakin tinggi
Pendaftaran kad autisme meningkat, tahap kesedaran masyarakat semakin tinggi

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Jumlah pendaftaran kad Orang Kurang Upaya (OKU) Autisme meningkat kepada hampir 89,000 orang tahun ini berbanding 23,000 orang pada 2021, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata peningkatan hampir empat kali ganda itu menunjukkan tahap kesedaran rakyat kini semakin tinggi dengan ibu bapa lebih peka, pengesanan awal lebih berkesan dan masyarakat semakin terbuka untuk mendapatkan diagnosis.

“Perkara paling penting untuk masyarakat faham adalah autisme bukanlah satu penyakit. Ia merupakan satu spektrum perkembangan neurologi.

“Apabila kita faham perkara ini, barulah kita dapat membuang stigma. Hakikatnya, golongan ini mempunyai bakat neurodiversiti yang unik dan mampu cemerlang dalam pelbagai bidang seperti sains, seni, dan teknologi,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena Sambutan Bulan Kesedaran Autisme.

Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Kertas Putih Kesihatan membawa pendekatan sepanjang hayat dengan memastikan ada kesinambungan dalam bentuk intervensi awal, rawatan susulan yang baik, hingga sokongan untuk golongan berkenaan membina kerjaya.

Beliau berkata KKM serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga akan terus memperkasa Pusat Pemulihan Dalam Komuniti bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir.

“Pada masa sama, kita menyeru perluasan akses pendidikan tinggi serta menggalakkan majikan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang adil dan inklusif buat mereka,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.