ADN Balakong syor DRT diperluas, tingkat akses mahasiswa ke kampus

23 Apr 2026, 8:39 AM
ADN Balakong syor DRT diperluas, tingkat akses mahasiswa ke kampus

SHAH ALAM, 23 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong mengesyorkan agar perkhidmatan transit atas permintaan (DRT) diperluaskan ke kawasan berhampiran universiti bagi memudahkan pergerakan mahasiswa, khususnya yang tinggal di luar kampus.

Wayne Ong Chun Wei berkata, langkah itu penting memandangkan kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) mempunyai bilangan stesen tren transit aliran massa (MRT) yang tinggi.

Menurutnya, keadaan itu memerlukan sokongan perkhidmatan tambahan bagi meningkatkan akses serta kesalinghubungan.

“Sekiranya perkhidmatan DRT dapat diperluaskan di kawasan universiti atau kolej, ianya dapat memudahkan mahasiswa yang tinggal di luar kampus untuk pergi ke kuliah,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wayne Ong Chun Wei berucap ketika Mesyuarat pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang kelima Belas di Shah Alam pada 23 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Chun Wei menyifatkan subsidi RM30 sebulan selama enam bulan di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor sebagai galakan kepada rakyat menggunakan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api.

“Ia juga membantu memanjangkan rizab bahan bakar api negara. Saya juga difahamkan bahawa Standco (Jawatankuasa Tetap) Mobiliti sedang bekerja rapat dengan operator-operator utama industri van DRT supaya jaringan first mile dan last mile dapat diluaskan.

“Ini penting kerana sekiranya jaringan sedia ada tidak diperkukuhkan, subsidi pengangkutan awam tidak akan memberi impak dalam meningkatkan penggunaan pengangkutan awam,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.