SHAH ALAM, 23 APRIL: Dato' Menteri Besar menjelaskan pengaktifan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) bertujuan menangani isu pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat tidak sah di atas tanah milik persendirian secara teratur tanpa mencetuskan konflik.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan penyelesaian dapat dicapai dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Apabila berlaku aktiviti tidak sah atas tanah hak milik peribadi, ia harus diuruskan pemiliknya. Namun, apabila ada aktiviti sensitif, ia perlu diuruskan dengan sebaiknya tanpa ada pergaduhan.
"Sebab itu, apabila isu ceroboh ini timbul kita aktifkan JKD yang dipengerusikan pegawai daerah supaya pihak dianggap menceroboh keluarkan sembahan dengan kaedah dan tuan tanah dapat buat pembersihan.
"Kita tidak mahu pemilik tanah perlu naik mahkamah dan tanggung bayaran peguam. Buat masa ini, selain aktifkan JKD, kita juga sedang mendengar pandangan daripada peguam Islam untuk bantu kembalikan semula tanah yang telah diceroboh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin mengenai punca sebenar JKD diaktifkan pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklumkan selain isu pencerobohan tanah melibatkan rumah ibadat tidak sah, Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) turut meneliti kewujudan tempat sembahan kecil yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
Pada Februari lalu, Kerajaan Negeri mengaktifkan JKD di semua daerah bagi mengendalikan isu pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat tidak sah di atas tanah milik persendirian.
Keputusan itu dibuat susulan ketetapan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor yang dipengerusikan Amirudin.
MKN Negeri Selangor menetapkan bahawa pemilik tanah yang mendapati berlaku pencerobohan perlu membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan serta tindakan undang-undang diambil jika terdapat kesalahan.
Selain itu, pemilik juga perlu mengemukakan notis rasmi kepada pihak penceroboh serta memaklumkan Pejabat Daerah untuk tindakan lanjut melalui JKD.
Proses pengantaraan menerusi JKD turut disediakan bagi mencapai penyelesaian yang munasabah antara pihak terlibat.








