SHAH ALAM, 7 JAN: Dato’ Menteri Besar mengarahkan semua pejabat daerah memberi tumpuan terhadap beberapa isu setempat, termasuk menyegerakan dan memuktamadkan isu pembuangan sampah haram di negeri ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain sampah haram, isu pencerobohan tanah, pemilikan tanah serta hak milik strata turut perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak berkaitan.
“Fokus utama Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan program-program utama, penanganan bencana serta hal ehwal kedaerahan kekal diberi penumpuan utama demi maslahah rakyat.
“Penumpuan tiga perkara untuk diberikan secara spesifik dan segera di kesemua daerah iaitu menyegerakan dan memuktamadkan isu sampah haram, pencerobohan tanah serta isu pemilikan tanah dan hak milik strata.
“Saya optimis barisan hadapan negeri Selangor boleh bergerak dengan lebih tangkas, bersepadu dan berdaya adaptif melalui gagasan Kita Selangor yang menjadi nadi gerak kerja Kerajaan Negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Amirudin mengadakan sesi pertemuan bersama sembilan pegawai daerah bagi mendengar secara langsung input berhubung isu serta perkembangan semasa di kawasan masing-masing.
Menurut beliau, hasil pertemuan tersebut akan dibawa dan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi meneliti langkah penyelesaian yang lebih menyeluruh.
Jelasnya, terdapat beberapa perkara yang boleh dipertimbangkan sebagai penyelesaian segera terhadap isu-isu setempat yang diketengahkan oleh pegawai daerah.


