Ops Risi: JPNS tangani binaan struktur haram secara berhemah

18 Feb 2026, 3:01 AM
Ops Risi: JPNS tangani binaan struktur haram secara berhemah
Ops Risi: JPNS tangani binaan struktur haram secara berhemah
Ops Risi: JPNS tangani binaan struktur haram secara berhemah
Ops Risi: JPNS tangani binaan struktur haram secara berhemah

KUALA SELANGOR, 18 FEB: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) melaksanakan 'Ops Risi' di Hutan Simpan Kapar Tambahan di sini bagi membanteras pencerobohan dan pembinaan struktur tanpa kebenaran di kawasan itu.

Operasi bersepadu itu melibatkan tindakan terhadap sebuah kuil yang didirikan tanpa kebenaran dan dilaksanakan secara profesional selaras dengan undang-undang hutan negeri serta mengambil kira sensitiviti agama.

Penolong Pengarah Kanan JPNS, Mohd Shafie Mahamud berkata pada peringkat awal, pihak pengurusan kuil cuba mempertahankan struktur yang dibina dengan pelbagai alasan.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) Mohd Shafie Mahamud ketika ditemui Media Selangor semasa Operasi Penguatkuasaan Hutan Bersepadu (Ops Risi) bagi mengalihkan struktur binaan rumah ibadat di Hutan Simpan Kapar Tambahan pada 12 Februari 2026. — Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM / MEDIA SELANGOR

Namun katanya, selepas penerangan dan rundingan dibuat, pihak terbabit akur terhadap peruntukan undang-undang yang sedang dikuatkuasakan.

Beliau menjelaskan kerja-kerja pemindahan peralatan kuil serta berhala dilaksanakan secara cermat, selamat dan teratur tanpa sebarang kerosakan.

"Kita sudah berbincang dengan pihak kuil untuk pemilik pindahkan semua barang-barang. Dia setuju dan setelah dikosongkan baru kita robohkan struktur bangunan" jelas Mohd Shafie.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) Mohd Shafie Mahamud meninjau Operasi Penguatkuasaan Hutan Secara Bersepadu (Ops Risi) bagi mengalihkan struktur binaan tempat ibadat di Hutan Simpan Kapar Tambahan pada 12 Februari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurut beliau, pendekatan berhemah itu membuktikan komitmen JPNS dalam menegakkan undang-undang sambil menghormati kepercayaan serta amalan agama pelbagai kaum.

Ops Risi turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa bagi memastikan operasi berjalan lancar serta mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

JPNS menegaskan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memelihara kelestarian hutan, mengawal pencerobohan serta memastikan pembangunan berlaku secara sah dan terancang demi kepentingan alam sekitar serta generasi akan datang.