SHAH ALAM, 12 FEB: Selangor mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) di semua daerah bagi mengendalikan isu pencerobohan tanah melibatkan pembinaan rumah ibadat tidak sah di atas tanah milik persendirian, umum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Keputusan itu dibuat susulan ketetapan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor yang dipengerusikan beliau di Shah Alam, petang tadi.
“Jawatankuasa Keselamatan Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diaktifkan di semua daerah di Selangor.
“Jawatankuasa Keselamatan Daerah sebagai pengantara akan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencapai penyelesaian yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Amirudin berkata langkah ini memastikan setiap pertikaian ditangani secara berstruktur dan mengikut undang-undang, selain mengelakkan tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihak polis sedang menyiasat insiden di Rawang semalam dan tindakan lanjut akan dijalankan mengikut proses undang-undang.
“Kejadian di Rawang semalam telah mencetuskan kegusaran rakyat. Ia perlu ditangani segera bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menggugat keharmonian negeri atas faktor kaum dan agama,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak berhak mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang dan semua pihak perlu menghormati prinsip tersebut demi memastikan keharmonian terus terpelihara.
Terdahulu, Amirudin mempengerusikan Mesyuarat MKN Selangor yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Panglima Markas 11 Briged, Yang Dipertua Majlis serta Pegawai Daerah bagi menilai tahap keselamatan awam susulan isu rumah ibadat yang mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.
Menurut Menteri Besar, terdapat dua isu utama berkaitan rumah ibadat tidak sah iaitu yang dibina di tanah milik Kerajaan Negeri dan yang dibina di tanah persendirian.
Bagi rumah ibadat di tanah milik Kerajaan Negeri, prosedur sedia ada diperkemaskan termasuk tindakan segera di peringkat PBT serta pengukuhan Tatacara Operasi Piawai (SOP) Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS).
Bagi tanah persendirian pula, pemilik tanah perlu melantik peguam dan mendapatkan perintah mahkamah sebelum sebarang pengosongan atau perobohan boleh dilaksanakan.
“Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah. Ini berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkaitan tanah,” tegasnya.
MKN Negeri Selangor menetapkan bahawa pemilik tanah yang mendapati pencerobohan perlu:
membuat laporan polis supaya siasatan dijalankan dan pendakwaan boleh dimulakan jika terbukti berlaku kesalahan
menghantar notis rasmi kepada pihak penceroboh dan memaklumkan Pejabat Daerah untuk tindakan lanjut melalui JKD
melalui pengantaraan JKD bagi mencapai penyelesaian yang munasabah
Sekiranya pengantaraan tidak berhasil, JKD akan menasihatkan pemilik tanah supaya tindakan diteruskan melalui saluran mahkamah.
Amirudin menekankan pendekatan ini memastikan semua tindakan dilaksanakan secara sah dan teratur, sekali gus mengelakkan sebarang insiden yang berpotensi mencetuskan ketegangan atau rusuhan.


