Peguam: Tatacara Selangor tangani rumah ibadat tanpa kelulusan selari undang-undang

14 Feb 2026, 7:31 AM
Peguam: Tatacara Selangor tangani rumah ibadat tanpa kelulusan selari undang-undang

SHAH ALAM, 14 FEB: Saranan Kerajaan Negeri agar pemilik tanah membuat laporan polis, merujuk kes kepada Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) dan menjadikan tindakan mahkamah langkah terakhir disifatkan tepat serta selari dengan undang-undang.

Peguam Zulsyahmi Husaini Kamarulzaman berkata tatacara ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor itu merupakan kaedah terbaik bagi menangani isu pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan.

Menurutnya, tindakan sendiri yang berpotensi mencetuskan ketegangan hanya akan mendedahkan pemilik tanah kepada risiko tidak diingini termasuk kemungkinan berdepan kes jenayah walaupun di atas tanah milik sendiri.

“Bila terjadi sesuatu, elok kita buat laporan polis walaupun kita bukan nak lapor sesuatu jenayah. Laporan polis itu untuk rekodkan perkara itu memang berlaku.

“Jadi selepas buat laporan polis dan kita hantar surat, (jika tiada tindakan dari penceroboh) kita boleh buat tindakan mahkamah. Berbincang dengan PBT atau Ahli Majlis pun boleh membantu sebelum tindakan ke mahkamah sebab tindakan ke mahkamah ini langkah akhir,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, rundingan damai wajar diutamakan bagi menyelesaikan isu itu secara harmoni, namun mengakui pemilik tanah berdepan tekanan apabila tanah mereka diceroboh dan terpaksa menanggung kos tambahan untuk mendapatkan semula hak.

“Bagi saya kita buat satu runding damai dan perbincangan, sebab kalau gunakan kekerasan atau bawa geng, akhirnya walaupun kita (pemilik tanah) tidak berniat untuk mencetuskan apa-apa, tapi ia boleh jadi seolah-olah macam satu ancaman kepada pihak yang menceroboh.

“Jadi apabila dia terasa terancam, boleh berlaku insiden yang kita tidak mahu, seperti rusuhan atau perkara yang lain, itu akan membawa kepada kes jenayah. Daripada tiada apa-apa (dikhuatiri) sangkut kes jenayah pula. Jadi seelok-eloknya buat runding damai dan gunakan saluran yang betul iaitu buat saman di mahkamah,” katanya.

Zulsyahmi menjelaskan kes pencerobohan tanah boleh melibatkan aspek sivil atau jenayah bergantung kepada keadaan dan bukti.

“Kalau jenayah, beban pembuktian itu lebih berat sebab bila kita buat laporan polis, kena buktikan yang dia memang berniat jahat untuk menceroboh tetapi jika kes sivil, ia kes jelas. Orang menceroboh ini termasuk dia duduk, buat rumah, buat kuil (rumah ibadat). Jadi walaupun dia sudah duduk lama, itu dikira sebagai squatter (duduk tanpa kebenaran).

“Jadi disebabkan dia duduk tanpa kebenaran, kalau kita sudah hantar surat minta keluar, beri tempoh 30 hari, tetapi dia tidak keluar, tindakan ke mahkamah dengan injunksi kekal atau injunksi larangan boleh diambil untuk melarang dia masuk lagi dan pihak polis boleh bekerjasama bila sudah ada perintah mahkamah.

“Jadi kalau setiap kali dia langgar, dia boleh dikenakan ganti rugi serta pampasan. Malah ia boleh dikira menghina perintah mahkamah dan penghinaan kepada perintah mahkamah ini boleh sampai dikenakan penjara,” katanya.

Beliau yang juga wakil Kluster KANUN Muda, KANUN Nasional, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, pihaknya sedia menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada mana-mana tuan tanah yang berdepan isu pencerobohan melibatkan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran.

“Kami kumpulan peguam muda AMANAH sedia membantu daripada segi nasihat perundangan, teman klien ke balai polis, atau untuk buat surat-menyurat.

"Biasanya yang kita perlukan, perlu ada pembuktian daripada segi gambar, pelan tanah atau geran tanah dan jika masih belum buat laporan polis, kita boleh bantu untuk draf laporan polis yang sesuai dan lebih tepat,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pemilik tanah yang mendapati berlaku pencerobohan serta pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan perlu membuat laporan polis, mengemukakan notis kepada penceroboh dan memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Daerah serta JKD yang diaktifkan di semua daerah di Selangor.

JKD akan bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pengurusan rumah ibadat, PDRM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari penyelesaian munasabah sebelum tindakan mahkamah diteruskan sekiranya rundingan gagal.