ADN harap projek tebatan banjir Sungai Langat disegerakan

22 Apr 2026, 9:30 AM
ADN harap projek tebatan banjir Sungai Langat disegerakan

SHAH ALAM, 22 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua menyambut baik usaha Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan inisiatif projek tebatan banjir dan projek RTB (Rancangan Tebatan Banjir) Sungai Langat Fasa 2.

Datuk Johan Abd Aziz berkata pelaksanaan projek tersebut bagaimanapun perlu disegerakan seiring dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mahu masalah banjir ditangani secara menyeluruh di negeri ini.

Menurutnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dilanda banjir sebanyak tiga kali dalam minggu yang sama pada akhir tahun lalu, sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda dan tanaman penduduk.

“Kerajaan Negeri perlu memberikan perhatian yang lebih serius terhadap pelaksanaan projek ini bagi memastikan rakyat di DUN Dusun Tua tidak terus menderita akibat masalah banjir berulang.

“Saya amat berharap dan memohon agar projek RTB ini segera dilaksanakan. Tindakan ini perlu melibatkan pembinaan tembok pemecah air yang lebih kuat, pembesaran saliran utama, serta penambahbaikan sistem saliran sedia ada di kawasan yang sering dilanda banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Johan menambah, RTB Sungai Langat Fasa 2 perlu diutamakan khususnya di kawasan yang sangat terdedah kepada risiko banjir seperti di Sungai Lui, Batu 16 Dusun Tua, Taman Sri Nanding, Kampung Sungai Serai dan Kampung Batu 10.

Beliau turut memohon agar agensi terlibat memastikan kerja pembersihan sungai dilakukan secara berkala dan berterusan terutamanya selepas bencana banjir dan musim hujan.

“Kejadian banjir ini bukan hanya memberi kesan langsung tetapi juga mengubah bentuk geografi kawasan kami sekali gus menjadikan kawasan tertentu lebih terdedah kepada banjir berulang,” katanya.

Isnin lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kekecewaan terhadap masalah banjir yang masih berulang di negeri ini walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini.

Pada Februari lalu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, proses reka bentuk projek RTB Sungai Langat Fasa 2 dijangka dimuktamadkan pada September depan.

Beliau dilapor berkata, projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Kelima (RP5) 2025 itu, kini dalam fasa penyediaan reka bentuk terperinci dan setakat Januari lalu, kemajuan reka bentuknya berada di peringkat konsep.

Menurut Abdul Rahman, perunding sudah dilantik pada 9 Mei tahun lalu dengan tempoh perkhidmatan bermula 19 Mei 2025 hingga 19 Ogos 2032 bagi melaksanakan penyediaan reka bentuk serta penyeliaan pelaksanaan projek.

RTB Sungai Langat Fasa 2, Pakej 1 merangkumi projek baik pulih dan naik taraf Sungai Langat yang bermula dari Kampung Sungai Lui hingga ke Taman Sri Nanding, dengan peruntukan RM512 juta.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.