Inap desa, tarikan alam bantu jana pendapatan Sabak Bernam

22 Apr 2026, 12:30 PM
Inap desa, tarikan alam bantu jana pendapatan Sabak Bernam

SHAH ALAM, 22 APRIL: Sabak Bernam mencatat peningkatan lebih 35 peratus dalam purata pendapatan penduduk dari 2021 hingga 2025, didorong sektor agro-ekopelancongan yang menarik lebih ramai pelawat serta menyokong perniagaan tempatan.

EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Perpaduan, Datuk Rizam Ismail berkata peningkatan itu dipacu aktiviti ekonomi tempatan berpotensi tinggi, khususnya agro-ekopelancongan, selain perkembangan inap desa, penambahbaikan kemudahan asas di lokasi pelancongan alam semula jadi serta promosi warisan desa dan makanan tempatan.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pendapatan penduduk di Sabak Bernam meningkat secara purata 35.71 peratus dari 2021 hingga 2025.

“Jumlah pelancong tahun lalu juga meningkat 74 peratus berbanding 2024, daripada 41,032 kepada 71,414 orang.

“Sektor ini mampu menjana pulangan dan merancakkan ekonomi tempatan melibatkan usahawan serta peniaga di Sabak Bernam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pesawah padi masih berdepan cabaran seperti penyakit tanaman, serangan perosak dan peningkatan kos operasi yang mengekang pendapatan mereka.

Bagi menangani perkara itu, katanya, Kerajaan Negeri menyediakan sokongan khusus menerusi langkah rangsangan ekonomi termasuk peruntukan RM25 juta untuk sektor pertanian.

“Bantuan bermula Jun 2026 ini melibatkan pemberian tunai RM500 sehektar kepada 18,000 pesawah bagi satu musim penanaman,” katanya.

Selain itu, bantuan lain termasuk RM450 sebulan bagi input pertanian kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur, serta subsidi diesel RM300 sebulan kepada nelayan selama enam bulan.

Rizam berkata kerajaan negeri turut memperkukuh ekosistem koperasi bagi meningkatkan pendapatan rakyat di peringkat akar umbi, termasuk geran RM6 juta melalui Koperasi Warga Hijrah Selangor Bhd (Kohijrah) dan penubuhan Pusat Pengumpulan Hasil Koperasi Pertanian Selangor di Sabak Bernam.

Beliau berharap inisiatif itu dapat meningkatkan pendapatan penduduk secara mampan serta membangunkan Sabak Bernam sebagai daerah luar bandar yang maju, lestari dan sejahtera.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.