Di tengah-tengah pembangunan pesat Selangor sebagai negeri industri dan metropolitan, muncul satu fenomena yang semakin mendapat perhatian iaitu budaya inap desa dan agropelancongan.
Kawasan seperti Sepang, Sabak Bernam, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Sekinchan kini bukan lagi sekadar kawasan pertanian tradisional, tetapi berubah menjadi ruang pengalaman budaya yang dicari pelancong bandar dan luar negara.
Homestay Banghuris di Sepang, misalnya, boleh dijadikan contoh bagaimana masyarakat setempat merintis usaha mengangkat budaya kampung tradisi menjadi satu produk budaya yang bernilai.
Pengunjung bukan hanya datang untuk bermalam. Mereka datang untuk ‘merasai kehidupan desa Melayu’ — makan nasi ambeng bersama keluarga angkat, menikmati kopi kampung di beranda rumah, melihat sawah terbentang luas, menyertai aktiviti menoreh getah, memetik kelapa, bermain permainan tradisional dan menyaksikan budaya gotong-royong yang semakin sukar ditemui di bandar.
Dalam dunia moden yang semakin digital dan pantas, pengalaman seperti ini menjadi sesuatu yang eksklusif. Kehidupan desa yang suatu ketika dahulu dianggap biasa kini berubah menjadi pengalaman budaya bernilai tinggi.
Namun perubahan ini tidak hanya berlaku dalam sektor pelancongan. Ia turut berkait dengan satu fenomena global yang semakin berkembang iaitu kehidupan nomad moden.
Apa yang menjadikan inap desa dan agropelancongan menarik ialah budaya yang dipersembahkan bukan budaya pentas semata-mata.
Ia bukan sekadar pertunjukan untuk pelawat, tetapi budaya yang masih hidup dalam kehidupan masyarakat.
Di kawasan seperti Banghuris, identiti Melayu-Jawa masih dapat dilihat melalui makanan tradisional seperti nasi ambeng dan pecal, penggunaan bahasa dan dialek Jawa, adat kenduri, seni muzik kampung, struktur keluarga serta semangat komuniti desa yang masih kuat.
Budaya ini mempunyai hubungan langsung dengan budaya Nusantara yang lebih luas.
Tradisi Jawa, Bugis, Banjar dan Melayu di Selangor sebenarnya adalah sebahagian daripada jaringan budaya serumpun yang merentasi Indonesia, Brunei, Singapura dan Selatan Thailand.
Dalam konteks ini, agropelancongan bukan sekadar aktiviti ekonomi. Ia menjadi alat pemeliharaan budaya Nusantara yang masih hidup di tengah-tengah arus urbanisasi moden.
Jika tidak dipelihara melalui ekonomi komuniti seperti inap desa dan pelancongan desa, banyak elemen budaya ini berisiko hilang bersama perubahan generasi.
Ekonomi tempatan
Kekuatan utama inap desa adalah kesannya kepada ekonomi tempatan. Berbeza dengan pelancongan berskala besar yang sering tertumpu kepada syarikat korporat, model inap desa membolehkan pendapatan diagihkan secara langsung kepada penduduk kampung.
Dalam satu pakej lawatan inap desa, wang pelancong biasanya beredar kepada keluarga angkat, pengusaha makanan, petani, nelayan, pengusaha kraftangan, pemandu pelancong tempatan, pemuzik tradisional dan peniaga kecil kampung.
Sebagai contoh, program inap desa berkumpulan bukan hanya memberi hasil kepada pemilik rumah penginapan, tetapi turut menghidupkan rantaian ekonomi kecil. Makanan perlu disediakan. Produk kampung dibeli. Aktiviti budaya perlu dianjurkan. Pengangkutan tempatan digunakan.
Dalam banyak keadaan, agropelancongan membantu penduduk kampung memperoleh sumber pendapatan tambahan tanpa perlu meninggalkan sektor pertanian sepenuhnya. Desa tidak lagi hanya menjadi tempat pengeluaran hasil tani, tetapi berubah menjadi ruang ekonomi pengalaman.
Satu perubahan besar yang berlaku hari ini ialah pertanian tidak lagi dilihat semata-mata sebagai sektor pengeluaran makanan.
Pertanian kini dipasarkan sebagai pengalaman budaya dan gaya hidup. Sawah padi bukan lagi hanya tempat bekerja, tetapi lokasi fotografi, pendidikan alam dan pengalaman keluarga bandar.
Kebun buah menjadi ruang pembelajaran generasi muda yang semakin jauh daripada kehidupan agraria. Aktiviti menanam, menuai dan mengurus tanaman pula menjadi simbol hubungan manusia dengan alam yang semakin hilang dalam kehidupan moden.
Fenomena ini memperlihatkan bagaimana budaya desa sedang melalui proses transformasi. Dahulu desa menghasilkan makanan untuk bandar. Hari ini, desa turut menghasilkan pengalaman untuk masyarakat urban.
Digital nomad
Menariknya, perkembangan inap desa hari ini selari dengan perubahan cara manusia bekerja dan bergerak.
Dalam sejarah manusia, kehidupan nomad bukan sesuatu yang baharu. Masyarakat nomad tradisional bergerak mengikut musim, sumber makanan, perdagangan atau keperluan kehidupan.
Mereka tidak terikat kepada satu lokasi tetap kerana alam sekitar menentukan corak kehidupan mereka. Namun dalam dunia moden, muncul bentuk baharu kehidupan nomad yang dikenali sebagai digital nomad.
Digital nomad ialah golongan pekerja yang menggunakan teknologi digital untuk bekerja dari mana-mana lokasi tanpa perlu berada di pejabat tetap.
Dengan adanya internet berkelajuan tinggi, komputer riba, platform mesyuarat dalam talian dan ekonomi digital, seseorang boleh menjalankan kerja profesional sambil tinggal di kampung, kawasan pantai, kawasan pertanian atau destinasi pelancongan.
Perubahan budaya kerja ini semakin ketara selepas pandemik Covid-19 apabila banyak organisasi mula menerima konsep kerja jarak jauh atau ‘remote working’.
Jika dahulu produktiviti sering dikaitkan dengan pejabat, hari ini sebahagian pekerjaan boleh dilakukan dari mana-mana ruang. Kafe, rumah kampung, inap desa dan kawasan hijau mula menjadi alternatif kepada ruang kerja tradisional.
Dalam konteks ini, inap desa mempunyai potensi lebih besar daripada sekadar tempat penginapan.
Ia boleh menjadi ruang kehidupan untuk generasi baharu yang mencari keseimbangan antara kerja, alam dan budaya.
Seorang pekerja bandar mungkin menghabiskan beberapa minggu bekerja dari rumah kampung sambil menikmati suasana sawah, makanan tradisional dan hubungan komuniti.
Bagi pekerja kreatif seperti penulis, pereka, pembangun teknologi atau pencipta kandungan, suasana desa boleh menjadi sumber inspirasi yang sukar diperoleh dalam persekitaran bandar.
Fenomena ini mewujudkan satu konsep baharu di mana desa sebagai ruang produktiviti. Kampung tidak lagi dilihat sebagai simbol ketinggalan, tetapi sebagai ruang alternatif yang menawarkan kualiti hidup.
Namun perubahan ini juga membawa cabaran. Jika tidak diurus dengan baik, budaya kampung boleh berubah menjadi sekadar produk komersial.
Rumah tradisional mungkin hanya menjadi latar gambar. Makanan tradisi mungkin hanya menjadi menu pelancongan. Aktiviti budaya mungkin hilang makna asal.
Cabaran terbesar ialah memastikan pelancongan desa dan budaya nomad moden tidak mengubah kampung menjadi ‘taman tema budaya’.
*Darma Sari merupakan seorang pengamat seni dan budaya tanah air







