SHAH ALAM, 22 APRIL: Kerajaan Selangor memperuntuk RM8 juta bagi kerja menaik taraf pendawaian elektrik sekolah agama, dengan keutamaan kepada bangunan berusia antara 15 hingga 20 tahun.
EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata keutamaan itu dibuat selepas audit menyeluruh dijalankan terhadap sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Jelas beliau, pelaksanaan fasa pertama melibatkan Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) yang berada di bawah tanggungjawab penuh JAIS.
“241 sekolah di seluruh negeri dikenal pasti terlibat dalam fasa awal berkenaan. RM8 juta akan dibelanjakan dengan fokus kepada sekolah yang paling uzur,” katanya ketika ditemui di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad fahmi menjelaskan sistem sekolah agama di Selangor terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu SRA, SRAI dan KAFA Integrasi.
Selain itu, terdapat juga sekolah tahfiz persendirian serta institusi swasta yang beroperasi secara berasingan.
Beliau berkata hanya SRA dan SRAI berada di bawah pentadbiran penuh JAIS, manakala KAFA Integrasi diuruskan oleh jawatankuasa pengurusan sekolah yang dilantik dalam kalangan ibu bapa dan penjaga, dengan JAIS bertindak sebagai badan kawal selia.
"Bagi KAFA Integrasi, tanggungjawab penyelenggaraan termasuk infrastruktur dan keselamatan terletak pada jemaah pengurusan sekolah, manakala JAIS hanya menyediakan guru, buku teks dan pemantauan kurikulum," jelasnya.
Tambah beliau, sekolah tahfiz persendirian pula bertanggungjawab sepenuhnya terhadap aspek pendawaian dan infrastruktur kerana perlu mematuhi syarat teknikal ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan permit operasi.
Sementara itu, mengulas isu membabitkan Masjid USJ 18, Fahmi memaklumkan beberapa laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan fitnah yang mengaitkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan perlindungan terhadap kontraktor utama.
Beliau berkata tuduhan tersebut timbul susulan pertikaian antara kontraktor utama dan subkontraktor yang mendakwa tidak menerima bayaran bagi kerja yang telah disiapkan.
"Isunya adalah subkontraktor tidak dibayar oleh kontraktor utama. Difahamkan pihak ICU Persekutuan telah membuat bayaran penuh kepada kontraktor utama yang dilantik," katanya.
Menurutnya, aset masjid terletak di bawah MAIS manakala JAIS bertindak sebagai pihak penyelia projek, justeru sebarang pertikaian pembayaran adalah di antara kontraktor utama dan subkontraktor.
Beliau turut menjelaskan subkontraktor telah mengambil tindakan undang-undang dan mahkamah memutuskan kontraktor utama perlu melunaskan bayaran.
"Namun tindakan memasuki masjid dan merosakkan struktur bagi mengambil semula barangan adalah satu kesalahan lain. Itu boleh dianggap pencerobohan dan mengganggu ketenteraman," katanya.








