Selangor bakal laksana pemutihan sekolah rendah agama swasta

13 Jan 2026, 8:25 AM
Selangor bakal laksana pemutihan sekolah rendah agama swasta

SHAH ALAM, 13 JAN: Selangor bakal melaksanakan proses pemutihan sekolah rendah agama swasta bagi memastikan keselamatan murid terjamin, kata EXCO Agama Islam.

Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata setakat ini sekolah rendah agama swasta masih beroperasi dan tiada yang ditutup, seperti didakwa sesetengah pihak.

Beliau menjelaskan dokumen yang tular di media sosial hanyalah peringatan kepada sekolah rendah agama swasta yang belum berdaftar sejak 2024, dan ia berbeza daripada program pemutihan tahfiz swasta yang dilaksanakan sebelum ini.

“Setakat ini belum ada program pemutihan di peringkat sekolah rendah agama, namun perkara itu akan dipertimbangkan tahun ini jika sesuai. Kita mahu sekolah agama bukan sahaja selamat untuk anak-anak, malah memberi keyakinan kepada ibu bapa.

“Pendirian Kerajaan Negeri bukan untuk menutup sekolah dengan sengaja, sebaliknya membantu supaya ia dapat beroperasi dengan baik. Sekiranya penutupan terpaksa dilakukan, Kerajaan Negeri akan memastikan murid dan guru dipindahkan ke sekolah yang sah dan bersesuaian,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan watikah pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi memaklumkan proses pemutihan melibatkan 606 sekolah tahfiz hampir selesai, dengan kadar pencapaian 96 peratus setakat 24 Disember lalu.

“Sekolah tahfiz yang telah melalui proses pemutihan diberikan kebenaran beroperasi dalam tempoh tiga tahun bagi melengkapkan semua dokumen, termasuk kebenaran merancang. Jika dokumen lengkap dalam tempoh itu, mereka boleh terus beroperasi, jika tidak, sekolah berkenaan perlu ditutup.

“Program pemutihan ini bukan sahaja memastikan keselamatan bangunan, malah membolehkan pemantauan kurikulum dilakukan serta mengelakkan ia disalahgunakan sebagai ruang mengutip derma,” katanya.