Program 'Glamping with Pride' batal, majoriti rakyat Selangor tolak LGBT

13 Jan 2026, 11:12 AM
Program 'Glamping with Pride' batal, majoriti rakyat Selangor tolak LGBT

SHAH ALAM, 13 JAN: Kumpulan pro-lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Jejaka membatalkan program ‘Glamping With Pride, yang dijadualkan di Hulu Langat pada hujung minggu ini.

EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata pembatalan program tersebut hasil suara majoriti masyarakat Islam di Selangor yang menolak budaya songsang tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan rakyat Selangor yang prihatin menolak penganjuran program tersebut

“Ternyata majoriti masyarakat Islam menolak penganjuran budaya songsang dan pertubuhan yang menyokong budaya LGBT,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan penganjur program 'Glamping With Pride' akan meneruskan program itu di Hulu Langat Sabtu ini, walaupun mendapat bantahan.

Kumpulan itu menegaskan program selama dua hari itu adalah 'retreat' berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan Pengerusi Mais dan Mufti Selangor mengambil tindakan tegas terhadap program "Glamping With Pride" yang akan diadakan di Hulu Langat pada 17 dan 18 Januari ini.

Pengerusi Mais Dato' Setia Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor Dato' Setia Anhar Opir dalam kenyataan bersama berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan tentangan dan bantahan keras sebarang aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan dalam negeri ini.

Hari ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengulangi amaran pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya penganjur program 'Glamping with Pride' meneruskan aktiviti yang dikaitkan dengan dengan unsur LGBT.