ad

Selangor bangun WiFi khas masjid, dilengkapi penapisan laman web tidak bermanfaat

16 Okt 2025, 4:22 AM
Selangor bangun WiFi khas masjid,  dilengkapi penapisan laman web tidak bermanfaat
Selangor bangun WiFi khas masjid,  dilengkapi penapisan laman web tidak bermanfaat

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri sedang membangunkan rangkaian WiFi khas untuk masjid bagi memperluas akses kepada program ilmu secara dalam talian dalam kalangan penduduk setempat.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata sistem tersebut akan dilaksanakan di 86 masjid pengurusan pada fasa pertama dan dilengkapi ciri penapisan bagi menyekat pelayaran ke laman web tidak bermanfaat.

“WiFi ini mempunyai kelajuan mencukupi supaya program yang berlangsung di masjid boleh ditonton oleh kariah setempat. Ada jemaah yang uzur dan tidak dapat hadir, jadi mereka masih boleh menyertai dari rumah.

“Kita pastikan akses WiFi ini menyekat kandungan tidak wajar. Jika pengguna cuba melayari laman berkenaan, akses akan disekat atau amaran akan dipaparkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perundangan Jenayah Syariah: Kesalahan, Implikasi dan Integriti Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Beliau yang juga EXCO pembudayaan inovasi berkata sistem WiFi untuk masjid itu dibangunkan bersama syarikat telekomunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Sesiapa sahaja boleh menggunakan rangkaian internet ini, namun penggunaannya dipantau dan dikawal. Usaha ini juga dapat membentuk disiplin dalam kalangan jemaah.

“Pembangunan sistem masih berjalan dan akan diumum serta dilancarkan dalam masa terdekat. Buat permulaan, ia dimulakan di 86 masjid pengurusan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Fahmi berkata seminar perundangan jenayah syariah mampu memberi kesedaran kepada kakitangan berhubung enakmen syariah dengan lebih menyeluruh.

“Syariah ini banyak terangkum antaranya tak pergi solat Jumaat, tidak berpuasa dan berkhalwat. Mereka kena elakkan kerana menjadi cerminan kerajaan dan perlu berkelakuan baik.

“Kita tak ada statistik penjawat awam terlibat dengan masalah ini namun percaya jumlahnya kecil, bukan satu endemik yang boleh memberi kesan besar,” katanya.