SHAH ALAM, 13 MAC: Kes kehamilan kanak-kanak seawal umur 10 tahun membimbangkan pentadbiran negeri sekali gus menuntut tindakan segera bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak termasuk menambah baik undang-undang berkaitan.
EXCO Keluarga Anfaal Saari berkata data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan 133,946 pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf melibatkan warganegara direkodkan antara 2020 hingga 2024, malah lebih membimbangkan, sekurang-kurangnya 13 kes melibatkan kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun.
“Keadaan ini menuntut intervensi segera termasuk pendidikan seksual, sokongan psikososial dan kesedaran masyarakat.
“Justeru, sesi meja bulat mengenai isu kehamilan luar nikah itu penting bagi menilai dasar sedia ada serta mengenal pasti penambahbaikan dari pelbagai perspektif khususnya berkaitan perlindungan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat Siri 1: Hamil Luar Nikah dan Anak Tak Sah Taraf: Penambahbaikan Prosedur, Tatacara dan Garis Panduan Mahkamah Syariah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.
Perbincangan itu turut melibatkan EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah selain disertai kira-kira 30 peserta dari agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Anfaal menambah, rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan 16,951 remaja berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin hamil di fasiliti kesihatan kerajaan antara 2020 hingga 2024.
Pada masa sama, beliau berkata teknologi digital turut menyumbang kepada peningkatan kes melalui akses mudah kepada internet dan media sosial, memudahkan aktiviti ‘grooming’ serta jenayah seksual siber menyasarkan kanak-kanak dan remaja.
Anfaal menegaskan terdapat kes hubungan kelamin dirakam untuk eksploitasi komersial sekali gus menuntut pendekatan menyeluruh termasuk pendidikan, kesedaran masyarakat dan pengukuhan undang-undang.










