SHAH ALAM, 22 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menegaskan institusi itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sedang disiasat berhubung penyelewengan dana melebihi RM20 juta.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Khaidzir Shahari berkata pihaknya tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan memandangkan siasatan masih berjalan.
“Zakat Selangor beroperasi sebagai institusi zakat rasmi negeri di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor. Agensi ini tertakluk kepada peruntukan undang-undang, sistem tadbir urus, kawal selia serta semak imbang menyeluruh.
“Pengurusan dana zakat turut melalui pelbagai lapisan audit dan pemantauan termasuk audit dalaman dan luaran serta semakan pihak berautoriti bagi memastikan setiap dana zakat diurus teratur dan terkawal,” katanya menerusi kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Khaidzir berkata pihaknya mengambil pendirian tegas terhadap sebarang salah guna dana dan memastikan pengurusan zakat dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Semua pihak diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak benar kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat,” katanya.
Pagi tadi, seorang timbalan pengerusi sebuah NGO dan pengarah syarikat berusia lingkungan 50-an dan 60-an dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini untuk proses reman berhubung kes menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2018 hingga 2024 selain seorang darinya didakwa sudah memindahkan RM230 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan peribadi.
Siasatan SPRM kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO berkenaan adalah sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan.








