SHAH ALAM, 5 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan kewangan bulanan bagi meringankan beban suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) bisu dan pekak yang membesarkan dua anak, termasuk seorang anak autisme.
Menurut LZS, pasangan berkenaan menetap di sebuah rumah sewa sederhana dan menghadapi pelbagai cabaran, namun tetap berusaha menyara keluarga mengikut kemampuan masing-masing.
“Bantuan disalurkan selepas keluarga ini dibanci dan disahkan layak menerima agihan zakat. Ia membantu menampung keperluan asas supaya kehidupan seharian mereka dapat diteruskan dengan lebih teratur,” kata agensi itu menerusi Facebook.
Tambah LZS, pasangan terbabit menzahirkan rasa syukur dan terima kasih menggunakan bahasa isyarat walaupun menghadapi keterbatasan komunikasi.
“Inilah peranan zakat dalam masyarakat — hadir untuk menyokong, menguatkan dan menjaga kebajikan mereka yang memerlukan,” ujar LZS.
Agensi itu turut merakamkan penghargaan kepada pembayar zakat atas sumbangan berterusan yang membantu meringankan beban asnaf di Selangor.


