LZS bantu keluarga mangsa kebakaran ragut nyawa kanak-kanak

7 Feb 2026, 12:48 AM

SHAH ALAM, 7 FEB: Tragedi menyayat hati menimpa sebuah keluarga di Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat apabila rumah sewa didiami musnah dalam kebakaran semalam sekali gus meragut nyawa kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Susulan kejadian itu, LZS bersama Ketua dan Penolong Amil Kariah Masjid Nur Hidayah Kampung Seri Cheeding, Azhar Kattan dan Rozima Samsudin menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa.

LZS berkata, bancian awal mendapati terdapat ahli keluarga terbabit layak didaftarkan sebagai asnaf miskin dan bantuan susulan akan disalurkan selepas proses dokumentasi lengkap.

"Kami mendoakan agar Puan Nur Liah Asul dan keluarganya diberikan ketabahan dan reda dalam menghadapi ujian ini.

"Terima kasih kepada semua pembayar zakat kerana sumbangan anda membantu meringankan beban keluarga yang diuji," kata LZS menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Dalam kejadian itu mangsa Muhammad Zahir Adha Mohd Zaid, 3, ditemui rentung dan jenazah kanak-kanak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Cheeding jam 4.55 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Kejadian itu membabitkan deretan rumah sewa sekitar jam 2.50 pagi sambil menambah punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.