Syarikat teknologi hanya sedia sistem ZPay, bukan ejen kutip zakat - LZS

6 Mac 2026, 8:24 AM
Syarikat teknologi hanya sedia sistem ZPay, bukan ejen kutip zakat - LZS

SHAH ALAM, 6 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menegaskan syarikat teknologi yang terlibat dalam platform pembayaran digital ZPay hanya menyediakan sistem transaksi, manakala urusan kutipan dan agihan zakat kekal diurus sepenuhnya oleh institusi itu bersama amil bertauliah.

Penjelasan itu dibuat susulan perbincangan di ruang awam berhubung dakwaan pelantikan syarikat milik bukan Islam sebagai ejen kutipan zakat menerusi aplikasi berkenaan.

LZS memaklumkan ZPay merupakan aplikasi rasmi yang dibangunkan bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat secara tanpa tunai dengan lebih pantas, selamat dan teratur.

Menurutnya, bagi membangunkan serta mengendalikan kemudahan digital itu, LZS melantik penyedia teknologi berdasarkan kepakaran teknikal serta keperluan keselamatan sistem.

“ATX Distribution Sdn Bhd berperanan membangunkan dan menyelenggara aplikasi ZPay, manakala GKash pula bertindak sebagai gerbang pembayaran (payment gateway) yang memproses transaksi digital secara masa nyata,” menurut kenyataan agensi itu hari ini.

Bagaimanapun, LZS menegaskan GKash hanya berfungsi sebagai infrastruktur teknikal yang menghubungkan institusi perbankan pembayar dengan sistem ZPay dan tidak mempunyai sebarang kontrak sebagai ejen kutipan zakat.

“Tanggungjawab kutipan dan agihan zakat dilaksanakan sepenuhnya oleh LZS bersama penolong amil yang ditauliahkan secara rasmi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya.

Tambahnya, semua bayaran zakat melalui ZPay diuruskan menerusi akaun khusus patuh syariah yang dikawal selia mengikut perjanjian serta prosedur kewangan institusi itu.

Kaedah tersebut memastikan transaksi diproses dengan cekap selain membolehkan pengasingan bayaran upah penolong amil dibuat secara teratur tanpa menjejaskan integriti dana zakat.

LZS turut menjelaskan sebarang caj pemprosesan transaksi kepada penyedia saluran pembayaran merupakan kos perkhidmatan sistem di bawah pengurusan amil dan tidak melibatkan potongan daripada jumlah zakat yang dibayar.

“Jumlah zakat yang dibayar oleh pembayar kekal sepenuhnya sebagai dana zakat,” katanya.

Dari sudut hukum syarak, penggunaan kemudahan transaksi kewangan yang disediakan oleh penyedia saluran pembayaran termasuk syarikat bukan Islam adalah diharuskan selaras prinsip fiqh muamalat melalui konsep ijarah atau sewaan perkhidmatan.

Pendirian itu juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 30 Oktober 2019 yang memutuskan pembayaran zakat melalui saluran digital seperti e-dompet dan kod QR adalah harus menurut hukum syarak.

LZS menegaskan setiap inovasi perkhidmatan yang diperkenalkan sentiasa melalui penelitian syariah serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh MAIS.

“LZS komited memastikan setiap urusan kutipan dan agihan zakat dilaksanakan secara telus, berintegriti serta mematuhi hukum syarak demi kesejahteraan asnaf dan kemaslahatan ummah,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.