SHAH ALAM, 8 APR: Seramai 22 pelajar asnaf Selangor yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 memperoleh gred 10A dan ke atas dalam semua mata pelajaran.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata 288 pelajar asnaf mencatat keputusan cemerlang 7A hingga 11A, diikuti 2,285 pelajar memperoleh 1A hingga 6A.
“Secara keseluruhan, daripada 6,032 pelajar asnaf yang dicatat mempunyai rekod SPM 2025, 87.9 peratus layak menerima Sijil SPM, satu pencapaian membanggakan dan wajar diraikan.
“Setiap kejayaan ini adalah hasil usaha, doa, dan ketekunan mereka yang tidak mengenal erti putus asa. Kejayaan ini bukan sekadar angka, tetapi lambang keberanian, semangat dan dedikasi anak-anak asnaf yang membuktikan bahawa walau datang dari keterbatasan, mereka mampu melangkah jauh dan mencapai impian.

“Hari ini kita meraikan pencapaian mereka, mengiktiraf setiap titis usaha dan pengorbanan yang tidak pernah sia-sia, serta menjadi inspirasi untuk generasi akan datang bahawa tiada had bagi mereka yang berani berjuang,” katanya menerusi Facebook.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata, seramai 61,385 calon yang menduduki SPM 2025 di Selangor layak dianugerahkan sijil berbanding 2024, 59,403 calon.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan 1,982 orang bersamaan 0.62 peratus berbanding tahun terdahulu.
Beliau menambah Gred Purata Negeri (GPN) juga mencatatkan peningkatan kepada 4.52 berbanding 4.59 pada 2024.








