Selangor belum terima peruntukan tambahan SUKMA 2026 - EXCO

21 Apr 2026, 10:20 AM
Selangor belum terima peruntukan tambahan SUKMA 2026 - EXCO
Selangor belum terima peruntukan tambahan SUKMA 2026 - EXCO

SHAH ALAM, 21 APRIL: Selangor masih belum menerima peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan bagi penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya kini sedang berunding dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan suntikan dana untuk menampung kos penganjuran.

"Setakat ini Selangor masih belum menerima sebarang peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan.

"Kita sedang berusaha dan berunding dengan KBS bagi mendapatkan bantuan dana," katanya kepada pemberita di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurutnya, secara kebiasaan negeri penganjur akan menerima peruntukan daripada kerajaan pusat, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan bagi Selangor.

EXCO SUKAN Mohd Najwan Halimi ketika sidang media isu penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 pada Sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 21 April 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

"Dalam penganjuran SUKMA sebelum ini, negeri penganjur seperti Sarawak, Perlis dan Perak lazimnya menerima peruntukan.

"Namun bagi Selangor ia masih belum diperoleh setakat ini," ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya suntikan dana disalurkan, ia akan membantu Kerajaan Negeri membuat penyesuaian kos serta memberi penjelasan lebih jelas dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dalam masa sama, beliau berkata dapatan perbahasan serta pandangan Ahli Dewan Negeri (ADN) akan dikumpulkan sebelum dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA bersama KBS.

"Selepas sidang dewan selesai, kita akan bawa semua pandangan ke mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi untuk dibincangkan secara bersama.

"Keputusan sama ada diteruskan, ditangguhkan atau dibuat penyesuaian akan diputuskan secara konsensus," katanya.

Tambah beliau, setakat ini persiapan temasya masih berjalan seperti biasa termasuk latihan atlet dan perancangan program sementara menunggu keputusan rasmi.

"Persiapan ketika ini berjalan seperti biasa kerana belum ada keputusan muktamad dibuat. Kita telah meminta pihak Majlis Sukan Negara Selangor (MSNS) untuk terus melaksanakan latihan atlet dan kerja-kerja persiapan seperti dirancang.

"Apa jua keputusan yang akan dibuat nanti, latihan dan persiapan perlu diteruskan bagi memastikan kesiapsiagaan tidak terjejas," katanya.

Semalam, ketika Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencadangkan penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai serta Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) baharu siap.

Baginda bertitah ia berikutan penganjuran temasya dwitahunan itu memerlukan peruntukan sangat tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.