SHAH ALAM, 24 FEB: Selangor memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) susulan peningkatan kos penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dianggarkan mencecah RM200 juta.
EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri setakat ini telah memperuntukkan RM100 juta, namun pertambahan acara daripada 28 kepada 37 sukan memberi implikasi kewangan yang besar terhadap keseluruhan kos penganjuran temasya dwitahunan itu.
"Kita telah memperuntukkan RM100 juta, tetapi anggaran keseluruhan mencecah RM200 juta. Dengan pertambahan sembilan sukan baharu, sudah tentu ada implikasi kewangan.
"Sebab itu kita mohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan menerusi KBS untuk menyalurkan sedikit peruntukan tambahan kepada Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Najwan turut memaklumkan, hampir RM50 juta turut diperuntukkan oleh 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kerja naik taraf fasiliti dan infrastruktur sukan sebagai persiapan menghadapi SUKMA 2026.
"Alhamdulillah, setakat ini di peringkat PBT, kemudahan infrastruktur dan fasiliti sukan berada dalam keadaan bersedia.
"Yang utama ialah Pusat Akuatik yang kini mencapai kira-kira 30 peratus kemajuan dan dijangka siap antara hujung Mei hingga awal Jun," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pemilihan syarikat pengurusan acara bagi mengendalikan majlis perasmian dan penutupan SUKMA 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini di peringkat akhir.
"Kita dalam proses memutuskan syarikat yang akan dilantik untuk mengendalikan acara perasmian dan penutupan SUKMA.
"Semua syarikat pengurusan acara yang berminat telah dibawa melawat tapak dan diminta mengemukakan cadangan konsep serta tema yang bersesuaian. Keputusan dijangka dibuat dalam masa terdekat dan insya-Allah dalam Mac mereka akan mula menjalankan tugas," katanya.
SUKMA ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang, manakala Para SUKMA pula berlangsung dari 15 hingga 20 September 2026.
Sebanyak 10 sukan dipertandingkan bagi Para SUKMA iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.








