Kerja naik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan capai 93 peratus, lengkap teknologi terkini

19 Mei 2026, 12:00 PM
Kerja naik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan capai 93 peratus, lengkap teknologi terkini
Kerja naik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan capai 93 peratus, lengkap teknologi terkini
Kerja naik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan capai 93 peratus, lengkap teknologi terkini

SHAH ALAM, 19 MEI: Kerja naik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan (PADE), salah satu venue utama Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, kini mencapai kemajuan 93 peratus dan dijangka siap sepenuhnya kira-kira tiga minggu lagi.

EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata kemudahan itu akan dilengkapi fasiliti moden serta teknologi terkini mengikut piawaian antarabangsa, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan Selangor sebagai tuan rumah SUKMA dan Para SUKMA 2026.

Katanya, kemajuan projek yang lebih awal daripada jadual asal memberi ruang mencukupi kepada pihak pengurusan untuk melaksanakan pelbagai persiapan termasuk ujian fasiliti sebelum digunakan bagi acara renang, terjun dan polo air.

“Alhamdulillah ini mengikut perancangan yang kita telah laksanakan. Maknanya dari segi tempoh siap itu kita jangkakan Jun, tapi Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) selaku agensi pelaksana kerja-kerja naik taraf ini dapat lakukan dengan lebih awal.

“Ia satu perkembangan yang positif. Kita dapat melakukan banyak persiapan terutamanya dari segi nak menguji dan juga persiapan pusat akuatik itu nanti, ada masa yang sesuai,” katanya kepada Media Selangor.

EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi meninjau perkembangan projek naik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan di Seksyen 13, Shah Alam pada 18 Mei 2026. Turut mengiringi Pengarah Eksekutif MSNS Mohamad Nizam Marjugi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor 2026 Dato’ Mohd Yazid Sairi. Foto Facebook Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd

Menurutnya, kerja naik taraf fasiliti berusia hampir 30 tahun itu melibatkan pelbagai komponen penting termasuk fasad bangunan, kerusi penonton, jubin, sistem pam serta pembersihan menyeluruh kawasan kompleks berkenaan.

Katanya, antara penambahbaikan utama ialah penggantian sistem pam lama yang berusia hampir tiga dekad kepada sistem baharu yang lebih moden dan efisien.

“Daripada segi tambah baik, banyak kita telah lakukan terutamanya melibatkan fasad pusat akuatik, ganti kerusi-kerusi penonton dan tambah baik serta perbaharui jubin yang dah rosak, serta bersihkan semula jubin-jubin yang mungkin nampak kotor.

“Pada masa sama kita tukar sistem pam di pusat akuatik ini. Pam yang telah berusia hampir 30 tahun itu kita sudah ganti dengan yang baru sesuai dengan teknologi terkini.

“Selepas hampir 30 tahun, ini merupakan satu projek naik taraf secara besar-besaran. Selepas ini kita jangkakan penggunaan pusat akuatik ini akan lebih menarik dan berdaya saing,” katanya.

EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi meninjau perkembangan projek naik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan di Seksyen 13, Shah Alam pada 18 Mei 2026. Turut mengiringi Pengarah Eksekutif MSNS Mohamad Nizam Marjugi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor 2026 Dato’ Mohd Yazid Sairi. Foto Facebook Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd

Tambahnya, turut dipasang ialah sistem pengiraan masa serta teknologi sensor berprestasi tinggi bagi memastikan ketepatan dan kelancaran penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

Jelasnya, dengan siapnya projek itu kelak, PADE bukan sahaja bersedia untuk SUKMA, malah akan dibuka semula kepada penggunaan awam dan komuniti.

“Kejohanan pertama selepas ia dibuka nanti adalah SUKMA dan selepas itu kita akan buka semula untuk kegunaan masyarakat dan orang awam.

“Persatuan-persatuan renang yang nak guna pakai untuk buat latihan, masyarakat yang nak menggunakan untuk kegiatan belajar, memang kita akan buka semula lepas ni untuk kegunaan awam,” katanya.

SUKMA edisi ke-22 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 10 September.

Sebanyak 474 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue, manakala Para SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.