SHAH ALAM, 15 MEI: Pengurangan peruntukan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 hampir separuh dari peruntukan asal RM100 tidak melibatkan pembangunan atlet, sebaliknya tertumpu kepada kos logistik serta elaun.
EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata pengurangan sehingga RM50 juta itu merangkumi kos sewaan peralatan, lokasi perasmian serta bayaran elaun kepada pegawai teknikal dan sukarelawan selain melibatkan aspek penginapan dan makanan.
“Sebelum ini kita peruntuk bilangan sukarelawan yang ramai, tetapi dah turunkan jadi 5,000. Pegawai teknikal dari Majlis Sukan Negeri (MSN) dan sekretariat juga dikurangkan dengan libatkan pengurusan dari negeri lain.
“Setakat ini pengurangan kos tak libatkan infrastruktur SUKMA kerana ia bawah kategori projek pembangunan. Jadi kerja naik taraf ini bukan untuk SUKMA semata tetapi untuk kegunaan jangka panjang.
“Contoh baik pulih Pusat Akuatik. Memang dah sampai masa kita naik taraf, kebetulan kita penganjur SUKMA. Lepas ni boleh jadi pusat sukan untuk masyarakat dan tempat latihan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pembangunan Sukan Pickleball Selangor (PICKLESPARK) 2026/2027 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata lokasi penganjuran SUKMA akan diputuskan dalam masa terdekat selepas perbincangan dibuat bersama jawatan kuasa temasya dwitahunan itu.
“Saya perlu dapatkan maklum balas agensi, jabatan terlibat sebab kita bergerak dalam kerangka peruntukan terhad. Yang penting kita anjurkan semua acara sebaik mungkin, bukan majlis perasmiannya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kira-kira 900 atlet akan mewakili Selangor dalam 36 acara melibatkan 469 acara yang dipertandingkan sepanjang SUKMA kali ini
“Sekarang kita ada 1,200 atlet, namun akan disenarai pendek menjadi 900 atlet. Pengurangan dana tak kacau pembangunan atlet” katanya.
Pada 26 April, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor memberi perkenan SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah dan berjimat cermat, umum Kementerian Belia dan Sukan.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj memberi perkenan baginda selepas mendengar taklimat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis (23 April).
Sebelum ini, pada 20 April lalu, Sultan Selangor mencadangkan penganjuran SUKMA 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Baginda bertitah cadangan itu dibuat berikutan penganjuran temasya dwitahunan berkenaan memerlukan peruntukan tinggi dalam keadaan ekonomi semasa.
SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA dari 5 hingga 10 September.








