SUBANG JAYA, 19 MEI: Sukan lawan pedang dan renang dikenal pasti antara prospek pingat emas kontinjen Selangor pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Ketua kontinjen Selangor Abbas Azmi berkata keyakinan itu disandarkan kepada prestasi semasa atlet selain komitmen tinggi dipamerkan sepanjang persiapan menghadapi temasya berkenaan.
Jelas beliau, selepas sukan lawan pedang meraih satu pingat emas pada SUKMA di Sarawak, Selangor kini meletakkan sasaran lebih tinggi bagi acara itu selaku tuan rumah.
“Di Sarawak, lawan pedang menyumbang satu emas. Untuk SUKMA di Selangor, kita sasarkan pencapaian lebih baik berdasarkan persiapan dan perkembangan semasa atlet.
“Kita melihat komitmen sangat baik daripada atlet serta barisan kejurulatihan. Saya yakin lawan pedang mampu memberi sumbangan lebih besar kepada kontinjen Selangor,” katanya selepas perjumpaan bersama atlet lawan pedang di Elite Fencing Academy, malam tadi.
Abbas berkata acara renang turut dijangka menjadi antara penyumbang utama emas buat Selangor memandangkan negeri itu terkenal sebagai antara pengeluar atlet renang berkualiti negara.
Katanya, kira-kira 1,800 atlet renang terlibat dalam program persediaan SUKMA, namun proses pemilihan akhir bukan mudah kerana memerlukan penelitian rapi.
“Ketika ini, seramai 70 atlet sedang menjalani latihan dan berada dalam senarai menunggu. Pemilihan akhir memerlukan masa serta penilaian menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata beberapa acara lain turut dikenal pasti berpotensi menyumbang emas termasuk silambam, muay thai, wushu dan ragbi.
Dalam perkembangan sama, Abbas yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang memaklumkan beliau menyediakan insentif khas RM1,000 kepada atlet lawan pedang yang berjaya meraih pingat emas.
“Saya gembira melihat adanya pasukan lawan pedang Selangor yang menjalani latihan di kawasan Seri Serdang selain komitmen ditunjukkan atlet dan jurulatih.
“Jadi, saya mahu menyediakan insentif sebagai pembakar semangat kepada atlet. Mereka yang memenangi pingat emas acara lawan pedang akan menerima RM1,000,” katanya.
SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan, manakala PARA SUKMA berlangsung dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 469 acara dipertandingkan daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan manakala PARA SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara di daerah Petaling serta Klang.
Selangor meletakkan sasaran 54 pingat emas pada temasya SUKMA 2026.











